Sering Kongsi Isu Palestin, Hantaran Di IG Siti Nurhaliza Sudah Mula Disekat!

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza kecewa apabila perkongsiannya mengenai nasib penduduk Palestin di platform Instagram sudah mula disekat.

Menurut Siti, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya dan pihak Yayasan Nurjiwa untuk meneruskan ‘perjuangan’ kecilnya.

“Posting saya mengenai Palestin di IG feed sudah mula kena block, tak mengapa usaha diteruskan,” tulisnya ringkas.

Perkara itu dikongsi Siti menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram Story miliknya pada Rabu.

Dalam hantaran sama, Siti berharap agar sosial medianya tidak diusik kerana ini adalah ruang untuknya menyalurkan bantuan menerusi Yayasan Nurjiwa iaitu badan amal yang diusahakan bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

“Alhamdulillah, besar amanah Yayasan Nurjiwa untuk terus menyalurkan sumbangan anda semua.

“Setiap tangan yang menghulurkan kami terima dengan keikhlasan dan kami akan salurkan secara berterusan.

“Saya harap sosial media saya masih tidak ‘diusik’ kerana ini adalah ruang yang saya ada untuk terus meneruskan perjuangan kecil dengan amanat ‘besar’ ini.

“Bantu kami semua Ya Allah… Lindungi saudara kami di sana,” katanya.

Sebelum ini, Siti giat membantu rakyat Palestin menerusi sumbangan dana kewangan untuk memastikan sumber bekalan makanan penduduk di negara bergolak itu tidak terputus.

Malah, pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu ini kelihatan tidak putus memantau perkembangan terkini peperangan yang dikhuatiri mengancam nyawa 50 anak angkatnya yang juga pelajar Sekolah Afwa Al Afiyah yang terletak di Gaza.

ARTIKEL BERKAITAN:Siti Nurhaliza Giat Bantu Palestin – “Saya Tak Ada Niat Lain, Saya Hamba Allah Yang Ada Tanggungjawab”

ARTIKEL BERKAITAN:Siti Nurhaliza Impi Nyanyi Lagu Million Roses – “Lagu Ni Menghantui Saya, Kena Juga Nyanyi Nanti!”

ARTIKEL BERKAITAN:Individu Dedah Siti Nurhaliza Beri Bantuan ‘Operation’ Jantung Anak – “Kami Sekeluarga Terhutang Nyawa & Budi”

Salma Syahbuddin