‘Sertai Program Realiti Bukan Cari Glamor Tapi…’ – Waris

Penyanyi dan komposer lagu rap, Waris mengakui ada alasan tersendiri mahu menyertai program realiti Dansa Dan Sing yang bakal bermula tidak lama lagi.

Waris ketika ditemui Xtra memberitahu penyertaannya bukan untuk meraih populariti namun untuk membantu golongan lebih memerlukan.

“Saya jarang berminat dengan pertandingan cuma kali ini saya fokus mahu membantu anak-anak yatim.

“Ini cara saya untuk menwar-warkan mengenai dua buah rumah anak yatim yang dibantu dan saya merancang untuk membantu lebih banyak rumah selepas ini.

“Bayangkan setiap kali saya muatnaik entri mengenai sumbangan di Instagram, ramai netizen yang sudi menghulurkan bantuan. Ramai yang membantu namun ada juga yang mengecam. Terpulang kepada mereka yang penting saya ikhlas membantu dengan memberi uniform sekolah berjenama Waghih kepada mereka,” katanya.

Waris memaklumkan dia membantu dua buah rumah anak yatim iaitu Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan, Negeri Sembilan dan Rumah Anak Yatim Cheras Baru.

“Lebih kurang 20-25 pelajar yang memerlukan pakaian sekolah setiap tahun.

“Bagi saya, bilangannya tidak mencukupi. Saya sasar untuk memberi sekurangnya tiga helai untuk setiap seorang,” ujarnya.

Penyanyi lagu Rembau Most Wanted itu berkata pada awalnya dia bimbang memaklumkan berita ini kepada pihak media.

“Saya ada bertemu dengan seorang ustaz dan bertanya sama ada tindakan saya ini boleh jatuh riak atau sebagainya. Saya dimaklumkan tiada masalah asalkan niat harus ikhlas dan betul.

“Sebelum ini ada juga netizen yang kecam dan menuduh saya membuat aktiviti amal ini untuk popular. Terpulang pada individu berkenaan, saya tahu apa yang saya lakukan. Sesiapa yang sudi bersedekah kepada anak-anak yatim ini, boleh hubungi saya di Instagram,” akhiri Waris.

Untuk rekod, perniagaan baju sekolah jenama Waghih yang diusahakan bersama penyanyi Juzzthin sejak tahun 2015 mendapat sambutan luar biasa.

Oleh: Fas

SGMS Faida