Setiap Manusia Buat Silap, Beri Saya Peluang Kedua…

“ Saya bukan orang yang bijak. Apabila saya kata kemurungan dalam menggambarkan situasi, mungkin saya salah pilih perkataan,” kata Haqiem Rusli dalam satu sidang media tergempar, sebentar tadi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Tergantung Sepi ini mengaku dia tidak pernah menipu mengenai masalah dihadapinya.

“ Takkan saya nak main-main dengan perkara macam ini. Saya menanggungnya seorang diri malah pernah merujuk dengan rakan yang pernah mengalami perkara sama dan ia menunjukkan tanda-tanda kemurungan ringan.

“ Tekanan kerja, masalah tidur, berat badan tidak menentu selain tekanan akibat kecaman daripada netizen antara puncanya,” katanya.

Dalam pada masa, Haqiem memberitahu sebelum ini dia tidak mendapatkan nasihat daripada pakar atau saluran yang betul kerana perasaan degil.

“ Pihak pengurusan  telah mengaturkan pertemuan dengan pakar psikiatri bagi mengetahui keadaan sebenar saya.

“ Saya bakal bertemu dengan pakar psikiatri di sebuah hospital pada hari Jumaat bagi mengetahui masalah sebenar sama ada menghadapi kemurungan atau pun mengalami masalah lain,” katanya.

Haqiem juga mengambil kesempatan memohon maaf atas apa yang telah terjadi sebelum ini.

Terdahulu, penyanyi muda ini pernah mengumumkan dia bakal bersara sebagai penyanyi kerana mengalami kemurungan.

“ Ia bukan gimik seperti didakwa. Beri saya peluang kedua untuk saya memperbaiki kesilapan. Setiap manusia melakukan kesalahan dan kesilapan.

“ Dengan rendah diri, saya memohon maaf kepada semua,” katanya.

Haqiem turut memohon maaf kepada Ernie Zakri dan Wany Hasrita selepas insiden mereka muncul dalam sebuah program Facebook Live di sebuah stesen radio sehingga mengheret nama dua penyanyi itu dalam kontroversi dirinya.

“Mereka tidak bersalah… Apa yang berlaku adalah salah faham dan saya benar-benar mohon maaf,””ujarnya.

Penyanyi Ernie Zakri, Caprice dan Sufi Rashid antara selebriti yang berpendapat ‘taktik’ kemurungan ini dibuat bagi meraih sokongan terhadap single terbaharu dilancarkannya iaitu Selamat Tinggal Sayang.

Tak apa lah, buang yang keruh ambil yang jernih ya…

SGMS Faida