#SFMM38: Isu Penyanyi Ganti Lagu Astana, Hubungan Ernie Zakri Dengan Nadeera Okay Sahaja – “Semuanya Demi Peminat”

Penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri menjelaskan dia tiada sebarang masalah bersama rakan seperjuangan, penyanyi Nadeera berikutan isu penyanyi gantian untuk lagu Astana dalam Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38 (SFMM38), baru-baru ini.

Ernie ketika ditemui selepas usai melakukan persembahan Astana di SFMM38 berkata dia amat memahami sisi Nadeera yang diberikan tanggungjawab untuk membawa lagu tersebut.

“Mengenai hubungan saya dengan Nadeera, kami berdua sudah menjelaskan segalanya. Kami ada berkomunikasi dan saya tiada apa-apa masalah dengan Nadeera.

“Saya sangat memahami sisi Nadeera kerana sekiranya saya diberikan tanggungjawab itu, saya akan menggalasnya juga.

“Dia seorang rakan yang baik. Kami dah jernihkan semua benda, tak ada apa-apa,” ujarnya.

Sementara itu, pelantun lagu Masing Masing ini turut menjelaskan kenyataannya mahu menarik diri sekiranya isu penggantian penyanyi ini masih belum selesai.

Jelas Ernie, dia terpaksa bertegas dengan pendirian demi peminat-peminat yang tidak henti mengundi dan menyokong sehingga lagu Astana layak mara ke SFMM38.

“Saya membuat semua ini untuk peminat-peminat saya. Mereka mengundi lagu Astana ini ada jadual, saya hanya mahu menghargai mereka.

“Kalau saya tak buat seperti ini bermaksud saya tak menyayangi peminat saya. Mereka adalah nombor satu dalam hati saya, segalanya untuk mereka.

“Saya rasa ini adalah cara yang betul untuk saya hargai peminat saya sebab mereka dah undi bersungguh-sungguh.

“Jadi sebaiknya saya hanya lawan untuk mempertahankan diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ernie tidak menafikan dia kesal dengan isu tersebut namun menarik nafas lega apabila semua pihak dalam keadaan baik sahaja.

“Beberapa hari ini saya dalam keadaan yang tidak baik. Saya menjalani kehidupan seperti biasa, tapi fikiran saya dan hati berat untuk lagu Astana.

“Saya rasa kena buat sesuatu yang betul untuk diri dan karier. Saya kesal semestinya, tetapi merungut dan memberitahu selebihnya pun, perkara sudah jadi.

“Saya bersyukur, Alhamdulillah bekas syarikat rakaman dan syarikat rakaman saya kini kedua-duanya juga baik,” katanya lagi.

Sebelum ini, timbul konflik berhubung penyanyi gantian lagu Astana di SFMMM 38 yang akan dibawakan oleh Nadeera menimbul rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat Ernie.

Susulan itu, beberapa kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh pihak Rocketfuel Entertainment dan Universal Music Malaysia berhubung isu tersebut namun akhirnya kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dan Ernie dimaklumkan membawa lagu Astana pada Jumaat.

Artikel Berkaitan: #SFMM38: “Penggantian Penyanyi Lagu Astana Di Luar Pengetahuan Saya” – Ernie Zakri

Artikel Berkaitan: #SFMM38: Isu Selesai, Ernie Zakri Bakal Nyanyi Lagu Astana Esok!

Artikel Berkaitan: #SFMM38: Nadeera Anggap Ganti Ernie Zakri Sebagai Rezeki Dalam Kerjaya – “Dia Ada Kelebihan & Saya Ada Kekurangan”

Artikel Berkaitan: #SFMM38: Hari Kedua Lebih Hangat! ‘Sutera’ Aisha Reto Lagu Terbaik & ‘Astana’ Ernie Zakri Lagu Pilihan Penaja

Aqilah Paharuzi