#SFMM38: “Tak Pernah Cakap Saya Tak Nak Nyanyi Atau Tarik Diri, Namun…” – Isu Lagu Astana, Ernie Zakri Buka Mulut

Penyanyi Ernie Zakri menafikan dakwaan dia sengaja tidak mahu menyanyikan lagu Astana di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38).

Menerusi kenyataan media yang dikongsikan di Instagram, difahamkan lagu Astana telah dicalonkan selepas Ernie menyertai syarikat rakaman Universal Music Malaysia (UMM) pada Julai lalu.

“Saya adalah penyanyi asal dan komposer lagu ini. Sudah tentu saya nak menyanyikan lagu ini. Malah, tidak pernah cakap saya tak nak nyanyi atau tarik diri.

“Namun, disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Media Prima Berhad, ia menjadi penghalang untuk saya mempersembahkan lagu ini pada SFMM38,” katanya.

Ernie adalah penyanyi asal serta penulis lagu Astana bersama dengan Omar K, Syamel dan Shazriq Azeman yang tercalon ke SFMM 38 seperti yang diumumkan pada majlis sidang media yang dianjurkan oleh TV3 pada 10 Disember lalu.

 

Dalam pada itu, UMM selaku syarikat rakaman yang mewakili Ernie turut memberikan penjelasan rasmi berkenaan isu terbabit.

Menurut UMM, Ernie cakna mengenai kenyataan RIM dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) yang belum mencapai kata sepakat dalam terma dan syarat pencalonan dalam program Muzik Muzik 38.

“Ernie menyatakan bahawa dirinya sentiasa mematuhi prosedur label antarabangsa Universal Music Malaysia serta menghormati pendirian kedua-dua persatuan iaitu RIM dan MPA yang mewakili syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa serta pemegang hak rakaman bunyi / video dan karya di Malaysia,” kata kenyataan terbabit.

Terdahulu, Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, sesi dialog sudah dibuat membabitkan semua pihak sejak Ogos lalu namun tidak dapat mencapai penyelesaian yang memuaskan.

“Banyak ahli kami yang terdiri dari syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa tidak mencalonkan rakaman lagu artis mereka dalam program Muzik Muzik tahun ini kerana tidak bersetuju dengan klausa tertentu dalam borang pencalonan lagu program itu.

“Kami sudah mengadakan sesi dialog bersama pihak pengurusan tertinggi Media Prima mengenai perkara ini pada awal Ogos tahun ini dan sudah mengetengahkan klausa bermasalah dalam borang pencalonan tersebut buat perhatian mereka.

“Walaubagaimanapun, sehingga kini, kami masih belum dapat penyelesaian yang memuaskan sepenuhnya berhubung perkara ini dan berharap dapat mencapainya dengan segera untuk klausa dan isu berkenaan”, katanya.

Sebelum ini, peminat Ernie Zakri meluahkan rasa kesal dan mahukan keadilan buat artis kegemaran mereka itu apabila dikhabarkan tidak akan menyanyikan lagu Astana di SFMM38.

Artikel Berkaitan: #SFMM38: Kecewa Ernie Zakri Tak Nyanyi Lagu ‘Astana’, Peminat Desak Bekas Syarikat Rakaman Beri Kenyataan Jelas – “Penat Undi Tapi Orang Lain Yang Nyanyi”

Artikel Berkaitan: Peminat Teruja Konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) Live In Singapore Bakal Tampilkan Ernie Zakri! – “Mimpi Jadi Realiti”

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Lebih Utamakan Kejayaan Peribadi Untuk Peminat, Ernie Zakri Tak ‘Kejar’ Gelaran Penyanyi Nombor Satu

SFMM38 menyaksikan 30 karya lagu bakal merebut 12 tempat ke AJL 38 yang bakal diadakan pada 3 Mac 2024 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

SFMM38 dibawakan khas oleh penaja utama, Alha Alfa dan rakan penaja, U Mobile. Turut memeriahkan musim ini adalah OhBulan!, XTRA dan Seismik sebagai rakan digital, serta Hot FM sebagai rakan radio.

SFMM38 yang dihoskan Izzue Islam dan Fizza Frizzy akan bersiaran secara langsung pada 15, 16 dan 17 Disember ini jam 3.00 petang hingga 5.00 petang di TV3 dan strim HD secara langsung di www.tonton.com.my.

Aqilah Paharuzi