Siti Nurhaliza Puji Kesungguhan Liza Hanim

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza memuji kesungguhan yang ditonjolkan oleh rakan seperjuangannya, Liza Hanim dalam sebuah program nyanyian, baru-baru ini.

Menurut Siti, dia berpendapat bahawa Liza layak menjadi juara dalam pertandingan tersebut kerana terpegun dengan kerja kerasnya dalam penyampaikan setiap lagu pada malam itu.

Selain Liza, Siti turut mengakui dia turut menjangkakan penyanyi Jaclyn Victor dan Nikki Palikat mampu meraih kemenangan dalam program tersebut.

“Kita tengok perjuangan Liza macam mana. Dalam list saya tu memang ada Jac, Liza dan Nikki sebab kemenangan tu memang bergantung pada persembahan mereka.

“Tiga-tiga ni memang layak untuk menang, cuma rezeki masing-masing tak tahulah kan. Saya menulis tu pun sebab saya lihat pada kesungguhan Liza dan dia punya kerja keras. Dia memang all out.

“Lagu duet yang dinyanyikan tu adalah lagu juara. Berbeza dengan yang lain sebab nampak lebih santai.

“Jadi bila dia menyanyikan lagu yang penuh cabaran tu dengan baik, saya anggap dia boleh menang. Tapi juri ada penjurian yang lebih profesional,” katanya ketika ditemui XTRA.

Dalam pada itu, Siti juga sempat memuji nyanyian Jaclyn yang dianggap sempurna dan sememangnya layak untuk meraih gelaran juara.

“Jac memang saya dengar dia nyanyi perfect, dia memang layak jadi juara. Tinggal lagi saya nampak kesungguhan Liza tu bagi saya ketiga-tiganya hebat,” jelasnya.

 

Fatin Nurain