Simbol ‘Allah Yang Satu’ Dikaitkan Dengan Lelaki Curang & Pukul Wanita, Nabil Ahmad Luah Rasa Kesal – “Yang Bermasalah Individu Itu”

Sejak kebelakangan ini, simbol jari ‘Allah yang satu’ sering dikaitkan dengan individu yang berlaku curang dan memukul wanita ekoran beberapa kes hangat yang tular.

Susulan itu, penyampai radio dan pengacara popular, Nabil Ahmad akui kesal dengan segelintir warganet dan menyifatkan ia sebagai mempermainkan agama.

Memetik laporan Gempak, Nabil berpendapat bahawa warganet tidak sepatutnya mengaitkan agama dengan kelakuan buruk yang dilakukan seseorang.

“Bagi saya, tanda itu (Allah yang satu) tak patut dimainkan. Jangan libatkan agama dengan perbuatan orang itu. Yang bermasalah adalah individu itu sendiri.

“Jangan fasal dia atau apa yang dia dah buat, contohnya dia pergi keluar tabligh, dia angkat tanda (la ilaha illallahmuhammadur Rasulullah) terus anggap ini adalah tanda-tanda lelaki akan curang dan pukul isteri.

“Oh no! Salah. Orang yang perlekehkan tanda itu, pada saya dia patut minta nasihat ustaz ke. Kita faham perasaan kau marah dengan perbuatan orang itu tapi tak ada kena mengena dengan tanda itu,” luahnya kepada Gempak.

Malah, Nabil juga menyatakan simbol tersebut tidak patut dipermainkan kerana ia juga dilakukan ketika menunaikan solat.

“Memperlekehkan tanda itu, bagi saya, tidak patut. Tanda itu juga sama seperti kita buat masa tahiyat awal dan akhir kan. Takut akidah lari sebab perlekehkan benda-benda maca mini.

“Kalau tak tahu, jangan nak tuduh, jangan nak perlekeh… dapatkan nasihat daripada orang yang tahu. Yang jadi masalah individu itu, bukan agama.

“Agama ajar yang baik, betul, terang, jelas dan nyata hakikatnya semua ada dalam Al-Quran dan Nabi ajar kita benda-benda yang macam itu,” jelasnya lagi.

Sumber: Gempak

Atiqah Johari