Skrip Filem Mat Kilau Dilabel ‘Overrated’, Syamsul Yusof Terbuka Terima Kritikan – “Yang Penting Majoriti Penonton Suka”

Pengarah tersohor, Syamsul Yusof tidak cepat melatah selepas filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menerima pelbagai respons dalam kalangan netizen sebaik sahaja mula ditayangkan di platform Netflix pada 16 September lalu.

Walaupun ada segelintir penonton yang menganggap filem tersebut sebagai ‘overrated’, namun Syamsul menganggap ia satu perkara yang normal.

Bagaimanapun, sebagai seorang pengkarya filem, sikap tidak mudah berpuas hati dan terus memperbaiki diri perlu ada untuk menghasilkan naskah yang lebih baik.

“Ada suka, puji melambung, hina pun ada. Jadi, tenang-tenanglah.”

“Apa pun alhamdulilah. Saya dah lama buat filem dah ‘masak’. Filem ni biasalah. Apa yang penting majoriti penonton suka, saya bersyukur. Lepas tu sebagai pengkarya filem jangan mudah puas hati. Terus perbaiki dan baiki perlahan-lahan.

“Apabila ditayangkan di Netflix, alhamdulillah, respons pun sangat baik, luar biasa juga. Saya setiap hari menerima DM, mesej daripada peminat di serata dunia. Ada dari Jerman, Madinah (Aarab Saudi), Australia, Amerika Syarikat, cakap tahniah dan pasukan Mat Kilau,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:“Habis Tu Aku Kena Diam Ke C*ba*!” – YouTuber Didakwa ‘Koyak’, Dikecam Gara-Gara Filem Mat Kilau

Sementara itu, Syamsul juga memaklumkan peminat di Indonesia tidak dapat menikmati filem tersebut lebih lama di pawagam apabila ia mula ditayangkan di Netflix.

Ini kerana, pihak Netflix mahu menayangkan filem tersebut dengan kadar segera supaya ia boleh disaksikan di seluruh dunia.

“Untuk di Indonesia, sayang peminat tidak dapat menikmati Mat Kilau dengan puas atau lama sebab permintaan amat tinggi di Netflix. Jadi, penerbit dan saya pun nasihat untuk tayangkan segera di Netflix.

“Walaupun mereka tidak dapat menikmati di pawagam dalam masa lama, sekejap saja dalam seminggu di pawagam terus masuk Netflix. Ini sebab Netflix pun mahu kita segera untuk tayang supaya seluruh dunia boleh tengok,” jelasnya.

Syamsul juga bersyukur apabila ramai pihak dan wakil filem dari pelbagai negara mahukan naskah arahan dan terbitannya selepas ini.

“Kejayaan Mat Kilau amat luar biasa. Penutup kutipan hampir RM100 juta dan ditayangkan di Indonesia. Insya-Allah pada masa akan datang, nak tayangkan serentak di Indonesia atau negara luar lain juga.

“Alhamdulillah, selepas kejayaan filem ini ada agen dari negara lain yang mula berminat dengan filem saya, jadi saya bersyukur,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin