Suci Hawa Zulaikha, Cahaya Mata Keempat Yatt Hamzah

Pelakon Yatt Hamzah yang baru sahaja melahirkan cahaya mata keempatnya minggu lalu memilih nama indah iaitu Suci Hawa Zulaikha buat anak perempuannya itu. 

Yatt mengumumkan nama anaknya yang lahir pada 30 Disember lalu menerusi satu entri di mana dia memuat naik gambar puterinya itu tanpa diperlihatkan wajah bayi tersebut di akaun Instagramnya miliknya. 

“Sempena mengambil keberkatan Sunnah menamakan anak pada hari ke 7, Bonda dengan rendah hati berkongsi nama Puteri ke 4 hari ini telah genap 8 hari usianya, iaitu Suci Hawa Zulaikha Binti Mohammad Zulfadhli,” tulisnya di dalam kapsyen.

Yatt atau nama penuhnya Haryati Hamzah turut berkongsi dengan umum maksud di sebalik nama puterinya itu.

“Nama yang baik bersempena dengan nama Ibu kita semua iaitu Hawa, isteri Nabi Adam AS, juga nama wanita yang dikatakan isteri Nabi Yusof AS iaitu Zulaikha.

“Suci pula membawa maksud kudus, bersih, harum dan baik juga bersamaan dengan nama awal ketiga-tiga kakaknya.

“Mudah-mudahan akhlak dan keperibadian anak Bonda ini secantik dan seindah namanya.. Semoga maksud namanya yang baik itu menjadi doa buatnya seumur hidup.. Mujahidah Solehah InshaAllah…Aameen..” tulisnya lagi sambil berkongsi hadith Rasullullah SAW tentang sunatnya menamakan bayi pada hari ketujuh kelahirannya.  

Sekadar info, Yatt mempunyai seorang anak perempuan bernama Suci Hanania Malika (9) melalui perkahwinan pertamanya dengan Abdul Mutalib Shukor dan melalui perkahwinan keduanya bersama M0hammad Zulfadhli Khairuddin pada 27 Februari 2016, dia dikurniakan dua anak perempuan bernama Suci Humaira Iqlima (3) dan Suci Hayfaa Medina (2). 

Kredit: Instagram @yatthamzah_suci

Del14