Sudah Memasuki Carta Trending Di YouTube, Netizen Dakwa MV Lip Lap Raya Siti Nurhaliza Ambil Konsep MV Adele?

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, ramai penyanyi yang mengeluarkan lagu-lagu raya baru sesuai dengan peredaran era muzik masa kini.

Tidak ketinggalan, penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut mengeluarkan single raya berjudul Lip Lap Raya yang baru sahaja dilancarkan.

Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata peminat penyanyi berkaliber itu teruja untuk mendengar lagu raya Siti setelah enam tahun tidak mengeluarkan single raya.

Setiap lagu Siti sentiasa berjaya menambat hati peminatnya, begitu juga dengan lagu rayanya kali ini.

Terbaharu, kecoh di ruangan media sosial Twitter mengenai luahan hati peminat pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu yang memberikan pelbagai respons positif dan negatif mengenai muzik video Lip Lap Raya.

Rata-rata netizen mempertikaikan konsep muzik video tersebut didakwa mengambil konsep penyanyi terkenal antarabangsa, Adele menerusi lagu ‘Oh My God’.

Dalam pada itu, ada juga dalam kalangan mereka yang mempertikaikan MV lagu tersebut tidak meriah seperti tajuknya, Lip Lap Raya.

Menurut mereka, MV lagu berkenaan tidak sesuai kerana tampak suram dan malap serta tidak menggambarkan tajuknya iaitu ‘Lip Lap Raya’.

Biarpun MV lagu terbabit dipertikaikan, Siti menerima pujian peminat yang menggemari melodi Lip Lap Raya yang kena dengan peredaran masa serta catchy.

Ketika artikel ini ditulis, MV Lip Lap Raya berada carta trending YouTube di kedudukan ke-14 dan meraih lebih 233,000 tontonan selepas sehari ditayangkan.

Aqilah Paharuzi