“Susahnya Nak Dapat Awak Ni..” – Elizad Shariffudin Jalani Rawatan IVF Kali Kedua

Pelakon dan penyampai radio, Siti Elizad memaklumkan dia kini sedang menjalani proses rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) buat kali kedua sebagai salah satu ikhtiar untuk mendapatkan cahaya mata pertama.

Selepas berehat lebih setahun, Elizad kembali bangkit dan mengumpulkan kekuatan untuk terus berusaha menimang anak dan melakukan pemeriksaan di Pusat Kesuburan Sophea.

Pelakon Teman Lelaki Upahan ini memuat naik sebuah hantaran di akaun Instagram miliknya yang memaparkan Elizad sedang melakukan pemeriksaan Tomografi Berkomputer (CT scan) bagi memeriksa keadaan dinding rahimnya serta berbincang dengan doktor.

“Susahnya nak dapat awak ni. Tempat yang sama, harapan yang sama. Insya-Allah soon, journey ke-2.

“Sedang memilih bulan yang sesuai dan tak busy, check dinding rahim dulu pagi ni,” tulisnya di ruangan kapsyen menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Setiap wanita pasti ingin bergelar ibu dan begitu juga Elizad yang membawa harapan sama selepas lapan tahun bersabar menanti kehadiran zuriat tercinta.

Meninjau di ruangan komen hantaran tersebut, ramai rakan selebriti dan pengikut Elizad yang menyuntik kata-kata semangat serta menitip doa agar segala urusan dipermudahkan kepada insan yang mulia hatinya ini.

Semoga rawatan tersebut berjaya dengan izin-Nya. Terus kuatkan semangat!

Terdahulu, Elizad atau nama penuhnya Siti Elizad Mohd Shariffudin pernah menjalani rawatan IVF kali pertama pada Februari 2020 namun disahkan mengalami keguguran pada November tahun sama.

Aqilah Paharuzi