Syukur Dapat Tunaikan Haji, Nelydia Senrose Akui Segan Dipanggil Hajah – “Cukup Panggil Nama Saja”

Pelakon jelita Nelydia Senrose yang baru berusia 28 tahun kini sudah memegang gelaran hajah selepas pulang daripada menunaikan ibadah haji bulan lepas.

Susulan itu, dia mengakui berasa segan apabila ada yang memanggilnya dengan gelaran tersebut.

“Tak perlu panggil saya hajah, segan pula rasanya. Cukup dengan Nelydia saja,” katanya.

Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen turut menyifatkan pengalaman ketika mengerjakan haji di Tanah Suci Makkah adalah sesuatu yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

“Pengalaman mengerjakan ibadah haji sukar untuk saya susun dengan kata-kata sebab apa yang saya nak kongsikan dari mulut ini tidak akan sama dengan memori manis yang saya lalui di sana.

“Namun cukup sekadar saya katakan layanan Allah dan segala macam yang saya tempuh sangat cantik dan dipermudahkan. Walaupun saya pernah menunaikan umrah beberapa kali, tapi haji ini saya dapat rasa satu kelegaan yang sukar untuk diungkapkan.

“Benar orang kata pemergian mengerjakan haji ini ibarat kita berjihad dan berserah dengan apa saja ketentuan yang bakal berlaku. Saya serah segala-galanya kepada Allah dan mengharapkan kehadiran saya ini diterima dengan baik.

“Sepanjang berada di Tanah Suci saya juga selalu berdoa supaya lebih ramai umat Islam terbuka hati atau ada yang bercita-cita nak kerjakan haji dapat menunaikan ibadat ini,” ujarnya.

Memetik laporan Harian Metro, ketika ditanya mengenai karier seninya, Nelydia memaklumkan bahawa dia kini berada dalam fasa untuk membiasakan diri dengan penampilan baharunya. Jadi, dia enggan terburu-buru untuk kembali berlakon.

“Setakat ini karier seni akan terus berjalan seperti biasa, cuma saya nak biasakan diri dengan penampilan baru (bertudung) ini.

“Saya tahu apa yang boleh membuatkan saya suka dan datang perasaan nakal, jadi saya nak kawal dulu perasaan itu dan tidak terburu-buru,” jelasnya.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari