Tahniah…Ammar Drama Band Selamat Bergelar Bapa!

Anggota kumpulan Drama Band Ammar Habir memaklumkan isterinya, Sheila Abdul selamat melahirkan bayi perempuan, Ahad lalu.

Mengucapkan syukur atas kurniaan amat berharga buat dia dan isteri, Ammar memaklumkan isterinya yang merupakan penyanyi dan kini bergelar pramugari selamat melahirkan anak sulung mereka di sebuah di hospital swasta di ibu kota.

“Assalamualaikum. Saya dan isteri Sheila Abdull ingin kongsikan berita gembira kepada semua. Cahaya mata kami selamat dilahirkan.

“Alhamdulillah kami dikurniakan cahaya mata pertama. Sepanjang proses kelahiran isteri juga tidak berdepan dengan sebarang masalah. Dan anak kami dilahirkan dengan berat 4.08 kilogram,” katanya.

Katanya, buat sementara waktu dia menamakan anak perempuan sulungnya dengan panggilan Chempaka.

“Saya tidak dapat memikirkan lagi penuh nama bayi comel kami, tapi setakat ini saya dan isteri bersetuju memanggilnya Chempaka,” katanya.

“Saya dan isteri mengucapkan berbanyak terima kasih atas doa dan berkat daripada keluarga juga kenalan yang mendoakan Sheila dan kandungan sehinggalah selamat bersalin.

“Doa saya juga semoga baby Chempaka diberikan kesihatan yang baik dan menjadi insan berjaya dunia dan akhirat apabila dewasa kelak,” katanya.

Ammar pemain gitar kumpulan Drama Band dan Sheila bernikah pada Disember 2016, selepas mengikat pertunangan selama setahun.

SGMS Enal