Categories: HiburanTrending

Tak Bersanding Atas Pelamin, Zizi Kirana Akui Malu – “Acara Ini Merupakan Majlis Kesyukuran, Santai Sahaja…”

Penyanyi terkenal, Zizi Kirana, 37, mengakui malu untuk bersanding di pentas pelamin bersama suaminya, pelakon Yusuf Bahrin di majlis Raikan Cinta Yusuf & Nur yang diadakan di Melaka pada Sabtu.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Fazelah Md Tahil ini, acara yang diadakan lebih kepada majlis kesyukuran bagi meraikan keluarga dan rakan-rakan rapat.

“Sebenarnya, kami lebih pada nak buat majlis kesyukuran dan santai saja. Jadi, kami mahu raikan dengan kaum keluarga dan rakan terdekat. Lagi pun, kami malu bersanding.

“Dari awal lagi kami memang nak majlis ini santai, tetamu datang makan, berjumpa, bergambar dan dengar persembahan qasidah.

“Ada keluarga saya datang dari Sabah, keluarga Yusuf, kawan-kawan, anak tahfiz dan beberapa tetamu kenamaan (VIP). Memang itu saja jemputan kami.

“Persembahan pun daripada kumpulan qasidah Ar-Rayyan saja. Pentas yang ada memang untuk qasidah. Selesai majlis, baru kami bergambar dengan keluarga di pentas,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah pelantun lagu Eh ini yang mendirikan rumah tangga pada 19 September tahun lalu, tetamu yang menghadiri majlis terbabit turut bertanya sebab mereka tidak bersanding atas pelamin.

“Semalam, masuk dewan kami terus duduk di meja makan beradab. Orang ingat terus ke pentas, tapi tak ada. Memang kami nak macam itu saja. Selalu dah naik pentas. Kali ini, nak lebih bermesra dengan tetamu kami.

“Sampai kumpulan qasidah pun terkejut dan tanya kami tak sanding ke? Sebab pentas memang untuk mereka saja dan saya menyanyi pun di tepi saja,” katanya.

Dalam pada itu, Yusuf mendedahkan dia dan Zizi mahu majlis yang dijalankan lebih terarah kepada majlis kesyukuran.

“Kami buat majlis tu bukan acara resepsi untuk persandingan kami. Saya dan Zizi niat nak berkumpul dengan keluarga dan sahabat handai saja.

“Lebih kepada nak meraikan tetamu yang sudi hadir. Selepas semua sudah selesai baru kami naik pentas untuk bergambar dengan keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Padin