Tak Letak Hantaran Tinggi, Ibu Reen Rahim Bagi Syarat Pada Bakal Menantu – “Barang Kemas & Al-Quran Yang…”

Pelakon Reen Rahim mendedahkan bahawa ibunya tidak meletakkan hantaran yang tinggi untuk majlis perkahwinan dengan Mr. H yang bakal berlangsung pada hujung tahun ini.

Menurut Reen atau nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim, ibunya hanya meminta bakal suaminya nanti untuk memberikan senaskhah Al-Quran berserta satu set barang kemas.

“Masa pertunangan, ibu saya jawab ‘Anak aku tak ternilai’ dan mahukan bakal suami menghadiahkan senaskhah Al-Quran yang telah dikhatamkan dengan berguru.

“Selain Al-Quran, ibu juga meminta barang kemas serba satu, kiranya satu set untuk saya,” katanya.

Disoal tentang permintaan ibunya tersebut, Reen bersetuju dengan apa yang diminta ibunya kepada bakal suami.

“Saya sebenarnya suka (permintaan ibu) sebab saya tidak boleh minta dia jadi suami yang baik, boleh jaga saya, tidak aniaya saya. Saya tidak boleh minta itu dengan bakal suami.

“Apa yang saya boleh buat adalah minta kepada Allah SWT. Jadi dengan Al-Quran itu, saya yakin ia dapat memberi laluan kepada apa yang saya inginkan,” ujarnya.

Di dalam tempoh bertunang, Reen memberitahu bakal suami banyak menghabiskan masa membaca dan sering meminta pandangan mereka yang arif dalam bacaan Al-Quran.

“Dia okey dengan permintaan ibu saya. Kalau di set penggambaran, selalu nampak dia baca dan meminta orang lain untuk semakkan bacaan dia,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Reen mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati namun identiti jejaka yang lebih muda itu masih lagi dirahsiakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bertunang Dengan Jejaka 6 Tahun Lebih Muda, Reen Rahim Bakal Kahwin – “Anjur 3 Majlis, Tajaan RM15 Juta”

Maya Basir