Categories: HiburanSelebriti

Tak Mahu Ingat Benda Lama, Tasha Shilla Kini Lebih Tenang

Pelakon jelita Tasha Shilla mengakui dirinya lebih tenang selepas mengorbankan beberapa perkara dalam hidupnya.

Kata pelakon drama Kamar Kamariah ketika ditemui, Tasha memaklumkan dia kini dalam proses memulihkan kesihatan fizikal dan mental.

“ Banyak perkara yang Tasha hadkan selepas melalui episod duka sejak beberapa tahun lalu. Antaranya Tasha hadkan pergaulan dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

“ Kalau dulu Tasha tidak pandai bahagikan masa dan mencuba hal-hal baru, kini tidak lagi. Kalau tiada kerja yang penting di luar, Tasha selesa habiskan masa bersama keluarga selain beberapa teman rapat sahaja,” katanya ketika ditemui di sidang media pelancaran ParisFairies Scarves di Greenhouse, Ampang malam tadi.

Sebelum ini, nama Tasha seringkali terpalit isu panas yang hampir mengorbankan kerjaya lakonannya.

“ Tasha tak mahu toleh belakang lagi. Tahun ini, Tasha mahu sayangi diri dan meletakkan kerjaya dan keluarga sebagai keutamaan.

“ Apa yang dah berlalu, biarkan berlalu. Tasha tak mahu hilang disebabkan kesilapan diri sendiri lagi,” katanya.

Diusik perihal teman lelaki, pelakon berusia 32 tahun ini mengakui lebih selesa tidak berkongsi kisah peribadi.

“ Berkawan tu memang ada cuma Tasha ambil pengajaran daripada kejadian lepas. Tak mahu berharap sangat, kalau ada jodoh… adalah. Kalau jadi, Tasha pasti kongsikan berita gembira ini dengan rakan media dan peminat.

“ Tasha tidak mahu terlalu sebab kalau tak jadi, kecewa nanti. Doakan yang terbaik untuk jodoh Tasha,” katanya positif.

SGMS Faida