“Kalau ada tawaran untuk watak sebagai ustaz, saya tak akan buat lagi. Kalau Nur dipentaskan di pentas teater, itu saya akan terima,” kata pelakon Azhan Rani yang terkenal dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama popular, Nur.

Kata pelakon berusia 43 tahun ini, dia tidak berminat membawakan watak ustaz dalam masa terdekat ini kerana tidak mahu penonton terlalu hanyut dengan watak sedemikian.

“Saya mahu penonton melihat saya sebagai pelakon yang boleh membawa pelbagai watak dan bukan sebagai ustaz saja.

“Impak menjadi ustaz dalam dua drama Nur belum padam lagi. Orang tetap nampak saya sebagai Ustaz Hamadi,” katanya.

Tambah Azhan, dia berharap mendapat sebuah cerita yang boleh menukar persepsi penonton supaya penonton nampak kemampuannya.

Azhan kini membintangi muzik video lagu raya berjudul Menanti Di Aidilfitri nyanyian Wany Hasrita, Wani Syaz, Muna Shahirah dan Wan Azlyn.

Sehingga kini, muzik video yang dimuat naik sejak seminggu lalu mencatat lebih sejuta tontonan dan menjadi ‘trending’ tempat pertama di YouTube. – Harian Metro.

SGMS Faida