“Takkan Saya Letak Kepala Di Bahu Lelaki Bukan Mahram” – Puteri Sarah Perjelas Isu Video Menangis Tular

Pelakon sensasi Puteri Sarah Liyana sekali lagi tampil mempertahankan dirinya selepas pelbagai dakwaan diterima dek kerana video menangis yang tular di platform TikTok baru-baru ini.

Katanya memetik laporan Harian Metro, dia masih waras dan tahu menjaga batas lebih-lebih lagi melibatkan lelaki yang bukan mahramnya.

“Saya tahu ramai yang ingin mencari silap saya. Ada saja yang tak kena di mata mereka.

“Janganlah asyik nak cari salah saja. Boleh fikir secara logik takkanlah saya nak letakkan kepala di bahu lelaki yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ketika siaran langsung.

“Saya hanya berpaling ke arah Andi. Saya tidak letakkan kepala dibahunya.

“Malah ada juga yang sengaja meninggalkan komen jahat ketika siaran langsung saya bersama Andi baru-baru ini. Tak bolehkah mereka hidup dengan tenang?,” katanya.

Sebelum ini, Sarah kelihatan tidak dapat menahan sebak apabila terdapat individu yang menyaksikan sesi siaran langsung di platform berkenaan memanggilnya dengan gelaran janda.

Bagaimanapun, tindakan pelakon popular Indonesia, Andi Arsyil yang mempertahankan serta memujuk Sarah agar memaafkan mereka yang menghinanya membuatkan aktres berkenaan bertindak sedemikian.

“Andi selalu menjadi pendengar terbaik setiap kali saya tertekan atau murung dengan fitnah atau komen jahat orang luar.

“Apabila saya bercerita dia selalu nasihatkan saya  supaya jangan ambil peduli dan tidak menyimpan dengan mereka. Malah dia selalu minta saya memaafkan pihak-pihak yang pernah menyakiti saya supaya hati saya lebih tenang dan positif.

“Alhamdulillah saya dikelilingi dengan insan yang baik dan dia salah seorang individu itu,” jelasnya.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin