Hiburan By: Padin September 17, 2022 @ 2:03pm

Tampil Gandingan Syafiq Kyle & Zahiril Adzim, Siku 12: Langkah Derhaka Pertaruh Aksi Silat

Mengetengahkan kehebatan seni persilatan Melayu dan seni mempertahankan diri Muay Thai, filem Siku 12: Langkah Derhaka terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd juga menyelitkan konflik cinta dan persahabatan sebagai elemen dramatik untuk menarik penonton.

Filem bergenre aksi arahan Azhari Zain itu menggandingkan dua aktor popular, Syafiq Kyle dan Zahiril Adzim selaku teraju utama.

Ia dimantapkan dengan penampilan barisan pelakon seperti Moon, Lobak dan Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar.

Tidak ketinggalan dibantu oleh Pon Muay Thai, Anas Ridzuan, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.

Penerbit Eksekutif, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, filem yang menelan kos sebanyak RM1.2 juta itu menjalani penggambaran pada 2019.

“Penggambaran filem bermula pada Oktober 2019 membabitkan tempoh selama 15 hari seperti dijadualkan.

“Namun, filem Siku 12 hanya siap sepenuhnya membabitkan proses suntingan dan sebagainya untuk tayangan di pawagam pada tahun ini.

“Ia membabitkan lokasi penggambaran di Pendang dan Alor Star, Kedah,” katanya.

Berkongsi cabaran merealisasikan filem Siku 12, kata Mohd Hafiz, dia hanya mengambil alih projek filem berkenaan pada saat akhir.

“Saya terima tawaran daripada rakan penerbit, Mohamad Pozi Mansor untuk mengambil alih projek filem ini bukan atas dasar persahabatan semata-mata.

“Sebaliknya, saya percaya filem Siku 12 ini mempunyai potensi untuk diketengahkan termasuk ke peringkat antarabangsa.

“Filem Siku 12 mengetengahkan ilmu persilatan seni silat tua Melayu iaitu permainan 12,” katanya.

Bagaimanapun kata Mohd Hafiz, banyak yang perlu diperbaiki untuk memastikan kualiti filem untuk tayangan di pawagam.

“Saya perlu menyiapkan dari segi proses suntingan, ‘audio mixing’ dan ‘color grading‘ untuk filem ini.

“Banyak proses dilalui filem ini terlebih dahulu, sebelum mendapat kelulusan tayangan di pawagam termasuk Kementerian Dalam Negeri, Skim Wajib Tayang dan wakil pawagam.

“Alhamdulillah, saya dan penerbit kembali bersemangat membawa filem untuk tayangan di pawagam selepas melihat maklum balas positif,” katanya.

Mengulas cabaran menerbitkan filem bergenre aksi, kata Mohd Hafiz, bukan mudah untuk merealisasikannya kerana ia memerlukan lokasi gelanggang yang besar.

“Kami juga menyediakan jurulatih profesional bagi memberi tunjuk ajar kepada pelakon ketika babak bertinju.

“Malah, pelakon utama, Syafiq Kyle perlu berlatih selama dua minggu sebelum memasuki lokasi penggambaran.

“Filem Siku 12 hanya menampilkan elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI) sebanyak 10 peratus,” katanya.

Apa yang menarik, kata Mohd Hafiz, filem Siku 12 menampilkan seramai 20 penari menora dari Persatuan Manora Kedah dan Manora Kham Kampung Kalai.

“Kami turut menampilkan ratusan pelakon tambahan untuk menjadi penonton di luar gelanggang.

“Jumlah penonton yang ramai diperlukan untuk menonjolkan suasana sebenar ketika pertandingan diadakan membabitkan peninju,” katanya.

Ditanya harapan terhadap filem Siku 12, kata Mohd Hafiz, pihaknya sudah berusaha memberikan terbaik pada filem dan hanya menyerahkan pada penilaian penonton.

“Saya yakin dengan momentum yang ada selepas kejayaan luar biasa filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, filem genre aksi juga akan mendapat tempat di hati penonton,” katanya.

Filem Siku 12: Langkah Derhaka akan mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober depan. Ia juga ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

Trailer rasmi filem boleh ditonton menerusi saluran YouTube/Power Team Entertainment sejak 6 September lalu.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Tue, 16 Jan 2024

Kekal Tenang & Positif, Siti Nurhaliza Banyak Amalkan Istighfar

Mashaa-Allah, patutlah TokTi tenang & murah dengan senyuman sentiasa❤️❤️❤️

Hiburan Sun, 29 Sep 2019

Dapat Kejutan, Untungnya Jadi Elfira Loy!

Tak sabar nak tengok Elfira jadi ibu!

Hiburan Thu, 20 Jun 2019

Jenazah Ibu Mawi Selamat Dikebumikan

Jenazah ibu kepada Asmawi Ani, Ramlah Sarlan, 72, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak Kulai, Johor pada jam 11 pagi tadi. Terdahulu, Mawi telah mengimamkan solat jenazah di rumahnya di Teratak Bonda […]

Hiburan Mon, 8 Apr 2019

#SetulusIkhlas : Diana Danielle Ajar Anak-Anak ‘Hormat’ Alam

Sebuah contoh yang wajar diikuti, jangan buang sampah merata-rata okay!

Trending Thu, 27 Jan 2022

Bekas Pemain Gitar Kumpulan Rock Popular Ditahan Ketika Lalok Di Studio Rakaman

Bekas pemain gitar kumpulan rock popular bersama adiknya ditahan dalam operasi dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketika sedang ‘lalok’ di sebuah studio rakaman di Petaling Jaya, semalam. Kedua-dua individu berusia 46 dan 26 tahun itu […]

Trending Thu, 24 Jun 2021

Dituduh Mandul, Dipanggil Puk***k, Didakwa Tak Solat – Elizad Sharifuddin Buat Laporan Polis Terhadap Netizen Biadap!

Pelakon Elizad Sharifuddin tampil membuat laporan polis terhadap seorang netizen yang meninggalkan komen biadap serta memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap dirinya. Membuat laporan di Balai Polis Bukit Jalil malam tadi, Elizad, 37, berang dengan […]