Tanda Penghormatan Karya Malaysia, Charly Setia Band Tampil Dengan Single Bukan Ku Tak Sudi

Selepas kejayaan konsert Reunion Charly ST12/20 Tahun Charly Berkarya di Axiata Arena, Bukit Jalil, Mac lalu, Setia Band tampil lagi melancarkan single berjudul Bukan Ku Tak Sudi.

Pernah dipopularkan oleh kumpulan rock lagenda Malaysia, Iklim, vokalisnya, Charly Van Houtten berkongsi lagu ini merupakan penghargaan terhadap pemuzik di Malaysia.

Single ini juga bertujuan untuk menyatukan muzik serumpum antara Indonesia dan Malaysia.

“Kebetulan, sambutan di konsert baru-baru ini, menunjukkan bahawa peminat muzik di Malaysia sangat luar biasa dan saya ingin menunjukkan apresiasi bahawa saya sangat menghargai karya-kaya para pemuzik di Malaysia.

“Lagu ini dipilih kerana setahu saya di Indonesia, orang kurang tahu lagu ini, tapi selepas konsert di Malaysia baru-baru ini, saya terkejut juga kerana semua peminat nyanyi bersama,” katanya.

Charly turut juga berkongsi harapannya untuk mengadakan konsert serumpun yang menggabungkan band-band dari Indonesia dan Malaysia seperti kumpulan Exist dalam satu pentas.

“Satu keinginan saya ingin buat konsert satu rumpun di Jakarta, Indonesia, di mana ia menggabungkan 5 band dari Indonesia dan 5 band dari Malaysia” ujarnya lagi.

Nurul Hana