Tash Yong, Boss Kay Sudah Berkahwin Ramadan Lalu Di Luar Negara – “Tiada Niat Nak Rahsiakan…”

Pelakon dan pengacara, Tash Yong mendedahkan dirinya sudah bernikah dengan lelaki pilihannya, Bosskay atau nama sebenar Khaireel Azlee Abdul Aziz pada Ramadan lalu di luar negara.

Memetik laporan Harian Metro, Tash atau nama sebenar, Nur Natasha Shazlia Rosli tidak berhasrat untuk merahsiakan perkahwinan itu.

Katanya, ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk perancangan majlis resepsi pada November depan.

“Alhamdulillah, syukur saya dan suami, Boss Kay sudah selamat bernikah pada Ramadan lalu.  Saya mohon doakan yang baik-baik buat kami dan tiada niat pun sebenarnya mahu merahsiakan perkahwinan ini.

“Cuma, kami simpan dulu cerita perkahwinan sehingga masa sesuai dan majlis resepsi nanti. Tapi, kami faham sebagai individu yang aktif di media sosial sudah tentu membuat orang tertanya-tanya status perhubungan kerana sering memuat naik video dan foto bersama.

“Kami harap dengan pengakuan ini, semuanya sudah jelas. Mohon maaf juga kerana kami tidak berkongsi lanjut mengenai perkahwinan kerana ia urusan peribadi. Cukuplah kami sudah mengaku sudah bernikah dan sekarang suami isteri yang sah,” katanya.

Sementara itu, Tash menjelaskan Boss Kay sudah menceraikan kedua-dua isterinya dan tidak mahu mengulas lanjut berkaitan perkara itu.

“Mohon hormati keputusan ini dan mendoakan yang baik-baik saja. Kami percaya, segala doa dan kata-kata baik yang diberikan itu akan berbalik juga semuanya kepada kalian semula. Terima kasih,” ujarnya.

Terdahulu, Tash dan Bosskay sering menerima kecaman apabila dilihat memuat naik video mesra bersama tanpa ikatan yang sah.

Maya Basir