Terkejut Disindir Rakan Artis, Ini Respons Nabila Razali -“Kenalah Tunjuk Contoh Baik, Bukan Sama Naik Mengecam”

Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali mengaku tersinggung dengan kata-kata segelintir rakan artis yang secara terang-terangan menyindir dirinya dek kerana tidak boleh menyanyi secara live baru-baru ini.

Menurut Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, 31, ketika itu dia terkejut apabila perkara yang disifatkan sebagai sensitif itu datang dalam kalangan rakan industri yang mencari rezeki dalam ‘circle’ yang sama.

“Saya dah maafkan siapapun yang pernah berkata sedemikian. Bagi saya, ia bukanlah perkara yang besar, cuma waktu itu saya agak terkejut kerana ia datang dalam kalangan rakan industri sendiri.

“Kita sama-sama cari rezeki dalam periuk nasi yang sama, tapi saya dah maafkan siapa-siapa pun dan it’s time to move on. Cuma, lepas ni saya berharap jaga-jaga dalam berkata-kata,” katanya.

Tidak mahu memanjangkan isu tersebut, pelantun lagu Peluang Kedua ini bagaimanapun tegas untuk tidak memberikan komen lanjut  berhubung konflik berkenaan.

“Jujur saya tak nak komen apa-apa pasal ni. Tapi apa yang boleh saya katakan adalah ada bezanya kenapa kita jadi public figure dan netizen menjadi netizen. Jadi, bagi saya, kerja kecam mengecam tu biarlah netizen yang buat tapi bukan orang yang dalam industri,” jelasnya.

Nabila ditemui pada majlis pelancaran single duet bersama Khai Bahar berjudul Selagi Ku Ada yang diadakan di Dadi Cinema, Pavillion Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu, Nabila menegaskan seorang ‘public figure’ haruslah menjadi contoh yang baik untuk peminat di luar sana, apatah lagi sekarang ini privasi juga sudah tidak ada makna memandangkan orang akan bercerita mengenai kisah peribadi artis tersebut berbanding karya mereka.

“Sebagai seorang public figure kenalah tunjuk contoh yang baik dekat orang di luar sana bukannya sama naik dengan orang yang mengecam dan saya cuma nak tambah sedikit, sekarang ni privasi pun dah jadi tak privasi dah.

“Contohnya, macam saya keluar lagu dan saya sedih bila ada orang lain keluar lagu tapi orang tak cakap pasal lagu pun tapi cakap pasal private life mereka. 

“Jadi, bagi saya, ia adalah suatu pembaziran kerana kita perlu buat lagu, tapi orang lebih pandang kepada sudut private life dia,” ujarnya.

Terdahulu, pelawak Atu atau nama penuhnya, Sharid Kunal Doli Sharif mengakui kesilapannya atas keterlanjuran kata terhadap penyanyi berkenaan selepas Nabila meluahkan rasa kecewa dan tersinggung dengan komen yang diberikan pelawak itu dalam sebuah program televisyen.

Salma Syahbuddin