“Terpulang Orang Nak Cakap Apa…” – 25 Tahun Menunggu, Liza Hanim Tak Kisah Dibandingkan Dengan Siti Nurhaliza

Penyanyi Liza Hanim enggan melayan kata-kata warganet yang sibuk membandingkan dirinya dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada persembahan di Anugerah Industri Muzik (AIM23) baru-baru ini.

Menurutnya, ini bukanlah masa untuk menilai siapa yang lebih hebat memandangkan sebelum ini dia juga pernah menerima kecaman yang lebih teruk daripada isu tersebut.

Malah, beliau yang sudah menunggu selama 25 tahun untuk menggenggam trofi AIM membuktikan impian itu dapat direalisasikan walaupun terpaksa menunggu dalam tempoh yang agak lama.

“Saya sekarang sudah berada pada tahap terpulang orang nak cakap apa, cakaplah. Saya pun pernah berdepan perkara yang paling ‘kejam’, jadi tak ada hal. Saya okey saja. Mulut orang kita tak boleh kawal.

“Baik kita pandang dari sudut positif berbanding memikirkan segala perbandingan yang cuba dibuat segelintir pihak. Tak larat lah nak fikir benda negatif.

“Kita pun lebih tahu diri sendiri serta kemampuan. Hanya jauhari mengenal manikam, jadi tenang-tenang saja,” katanya.

 

Liza Hanim atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 43, terpalit dengan isu kontroversi ini selepas ada pihak mendakwa, hanya Siti Nurhaliza sahaja yang mampu membenamkan vokalnya pada acara nyanyian secara langsung.

Namun, bagi pelantun Gelisah Mimpi ini, pengalaman yang diraih sepanjang lebih dua dekad dalam industri hiburan tanah air membuatkan dia memberi lebih perhatian terhadap aspek persembahan terbaik.

“Nasihat saya kepada bakat baharu yang berdepan hentaman atau cubaan menggugat semangat, jangan hirau sebaliknya fokus dengan usaha memperbaiki kekurangan.

“Mungkin untuk ke arah itu akan ambil masa agak lama tetapi percayalah apabila sampai waktu, orang akan tetap berpatah balik melihat kualiti bakat yang kita bawa,” jelasnya.

Terdahulu, Liza Hanim bersama rakan duetnya, Shila Amzah berjaya membawa pulang dua trofi menerusi kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu dan kategori Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem atau Drama menerusi lagu Bahagiakan Dia.

 

Sumber: Kosmo

Salma Syahbuddin