Categories: Hiburan

Teruskan Solidariti Terhadap Palestin, Ella Bakal Bawa Konsert Jilid Akhir Puteri Kota Ke Sabah!

Ratu rock negara, Ella bakal menghangatkan peminat di Sabah pada 20 Januari 2024 menerusi penganjuran konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota di Kota Kinabalu selepas kejayaan penganjuran konsert di Pulau Pinang.

Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 56, memaklumkan konsert itu turut diadakan bagi menyokong masyarakat Palestin di mana sebahagian jualan tiket akan disumbangkan melalui tabung Cinta Gaza Malaysia.

“Saya berterima kasih buat semua pihak, terutamanya peminat yang menyokong solidariti saya terhadap Palestin melalui sumbangan kepada tabung Cinta Gaza Malaysia. Ia salah satu cara kita dapat membantu secara fizikal dan sudah pastinya doa dari semua,” katanya.

Ketika di konsert Pulau Pinang lalu, Ella muncul dalam busana serba putih membawa bendera Palestin memberi simbolik solidariti terhadap rakyat negara itu.

Malah hasil jualan tiket konsert berkenaan Ella telah menyumbang lebih RM30,000 buat rakyat Gaza, Palestin menerusi tabung yang disalurkan kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

“Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan berdoa buat saudara kita yang terkorban dan sedang bergelut dengan konflik peperangan di sana, ‘free Palestine’!” kata Ella.

Konsert di Kota Kinabalu bakal turut diserikan dengan beberapa penampilan istimewa penyanyi yang masih lagi dirahsiakan serta turut menampilkan duet Ella bersama suami, Kapten Azhar Ghazali menerusi lagu Peace Love Rindu dan Mendung Tak Bererti Hujan.

Dalam konsert berkenaan, Ella bakal mendendangkan hampir 40 lagu hitnya seperti Belenggu, Tiada Tangis Lagi, Sujud, Prinsip, Anak Patung, Retak dan banyak lagi.

Buat yang berminat, tiket sudah mula dijual di Hitmanlive.com dengan harga serendah RM98 sehingga RM358.

Padin