Ulas Isu Kelantangan Damian Mikhail Terhadap VE, Lah Ahmad Minta Beri Sokongan Membina – “Kita Kena Support, Bukan Kritikan”

Sebelum ini, bekas ahli kumpulan VE, Damian Mikhail tampil mengkritik kumpulan tersebut yang kini sedang menyertai sebuah pertandingan nyanyian anjuran stesen televisyen berbayar.

Susulan itu, penyanyi dan bekas anggota VE, Lah Ahmad turut menyuarakan pendapatnya mengenai kumpulan terbabit serta memberikan komen mengenai kritikan yang dilemparkan oleh Damian.

Diminta untuk mengulas mengenai isu tersebut, Lah berpendapat komen yang diberikan hendaklah komen yang membina dan bukannya mengkritik.

“Pendapat itu kita kena membina sikitlah saya rasa… Mungkin dari segi Damian, dia lebih minat membuat muzik tapi nak berkawan tu, saya lebih setuju kalau dia bagi komen yang membina buat kawan-kawan,” katanya.

Menurut Lah lagi, dia mahu memberikan sokongan untuk rakan seperjuangan yang berada dalam industri.

“Sebab what we need right now dalam industri, dalam mana-mana pun, kita kena bagi support, doa… Kawan-kawan kita dan seangkatan dengan kita.

“So saya kalau nampak kawan keluar album, pergi call jumpa ucap tahniah, nampak kawan kita buat bagus kita support,” katanya kepada XTRA.

Pelantun lagu Kau Tercipta itu ditemui di sidang media 25 Years Lah Ahmad Live In Concert yang berlangsung di Petaling Jaya, semalam.

Malah, Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad, 42, sempat berpesan tidak perlu untuk meninggalkan komen berbentuk hentaman kerana ia akan dipersoal di akhirat kelak.

“Jadi, tidak perlulah komen secara nak hentam. Sebab nanti dekat Padang Mahsyar, orang akan ungkit apa yang kita tak puas hati. Sebab itu kita jangan buat salah sebesar zarah pun,” pesan Lah.

Terdahulu, timbul kontroversi Damian lantang bersuara mengkritik kumpulan VE yang menyertai pertandingan nyanyian dengan kapasiti ahli baharu.

Atiqah Johari