Susulan Kes Tarik Diri Dari Bertanding, Hantaran Facebook Ustaz Kazim Curi Perhatian – “Semoga Kutukan, Cercaan & Hinaan Bertukar Jadi Pahala”

Selepas mengambil keputusan menarik diri dari bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut pada Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) baru-baru ini, pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias sekali lagi mencuri perhatian selepas memuat naik hantaran di Facebook peribadinya.

Menerusi hantaran tersebut, Ustaz Kazim dilihat menasihati semua pihak agar menyayangi pahala masing-masing selepas pelbagai kritikan diterima terhadap pencalonannya itu.

Malah, dia juga menitipkan doa agar segala kutukan, cercaan dan hinaan terhadapnya digantikan dengan pahala.

“Alhamdulillah, semoga kutukan cercaan hinaan bertukar menjadi pahala. Terima kasih. Sayangilah pahala anda,” tulisnya.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengikut Ustaz Kazim memberikan sokongan terhadap keputusannya untuk menarik diri pada 1 November lalu.

Terdahulu, pencalonan Ustaz Kazim telah diumumkan sendiri oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pemilihan tokoh agama itu adalah berdasarkan populariti dan pengaruhnya di negeri Perak dan sesuai untuk berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin di Larut.

 

 

 

Sumber: BH, Facebook

Salma Syahbuddin