Wow! Idan Aedan Pelakon Pertama Tempatan Bintangi Siri Netflix Antarabangsa

Pelakon remaja, Idan Aedan atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah, 18, melakar sejarah industri seni apabila menjadi pelakon pertama tempatan yang membintangi Siri Netflix antarabangsa.

Menerusi siri 13 episod berjudul Mr. Midnight: Beware The Monsters yang telah menjalani penggambaran di Batam, Indonesia dan Singapura pada pertengahan 2021 itu, pelakon itu telah diberikan kepercayaan untuk membawa watak utama sebagai Tyer.

“Saya bersyukur diberikan peluang sebesar ini. Dalam masa yang sama, saya boleh cakap tak pernah terbayang untuk sampai ke tahap itu. Umur saya baru 17 tahun ketika itu. Rezeki saya. Alhamdulillah.

“Saya sedar, bukan mudah untuk pelakon tempatan diberikan peluang sebegitu. Rasa macam mimpi pun ada. Tidak dinafikan, bekerja dengan produksi antarabangsa adalah antara impian saya. Dapat pula berlakon dalam drama bergenre kesukaan saya iaitu seram.

“Tipulah kalau saya cakap tak pernah impi mahu berlakon dengan produksi antarabangsa. Cuma, saya tak sangka rezeki saya datang terlalu cepat,” ujarnya.

Menurut Idan, dia teruja dapat bekerja dengan tiga pengarah hebat dari luar negara iaitu Tony Tilse, Sean Oliver dan Yee-Wei Chai.

Malah, pelakon drama Jibril ini turut berkata dia dapat bekerjasama dengan pelakon hebat dari Australia seperti Caleb Monk, Chen Yixin dan Nikki Dekker.

“Saya boleh kata satu kenangan manis dan tak dapat saya lupakan. Dalam usia yang muda dapat bekerja dengan mereka yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa. Ini satu pencapaian yang tak pernah saya terfikir.

“Selain pengarah dan gandingan pelakon yang best, cara bekerja juga amat berbeza. Bukan sahaja saya belajar tentang lakonan, saya turut diberikan pendedahan tentang camera work dan teknikal lain yang membuatkan saya boleh memahami keseluruhan perjalanan cerita itu,” katanya lagi.

Dharnieya Nur Amelsa