Categories: Acara

TAPAUfest 2022 Tarik Lebih 3,000 Pengunjung

Lebih 3,000 pengunjung ke TAPAUfest 2022 merasai pengalaman baharu gabungan muzik dan seni berlatarkan nuansa alam pada penghujung Oktober di Tasik Raban, Lenggong, Perak.

Pengunjung dari pelbagai latar, tak kiralah kaki seni, rockers, dan pencinta alam tanpa mengira jantina, serta seisi keluarga, masing-masing mengisi masa dengan bersantai, berkhemah, menikmati tasik nan indah yang kaya dengan pelbagai sejarah dan budaya nusantara.

Sebaik sahaja kaki melangkah pintu masuk, pengunjung akan terus merasai suasana sebuah festival dengan bunyian muzik yang dipancarkan dari Pasar Serba Serbi. Konsep tersebut diinsipirasikan dari Woodstock dengan dipenuhi khemah yang dihiasi dengan warna-warna pop dan terdapat jualan pakaian terpakai, rilisan fizikal, karya seni dan kraf selain seleksi muzik daripada DJ kolektif Disko Santan.

TAPAUfest juga dipenuhi dengan aroma menyenangkan datang dari reruai Warung yang menyajikan pelbagai pilihan makanan jalanan tempatan.

Bengkel & Layar bersama KAKISENI menyampaikan sedikit ilmu kepada pengunjung melalui sesi seperti Unravelling Lenggong oleh Khairul Ameer, wakil Majlis Daerah Lenggong dan bengkel seperti ‘Wayang Kulit for Dummies’ serta tayangan filem pendek.

Tepat jam 5 petang, pengumuman dari pengacara majlis mula bergema di seluruh Tasik Raban dan pengunjung festival terus menuju ke Pentas dengan kerusi perkhemahan mudah lipat dan tikar berkelah di tangan untuk menyediakan tempat dan pemandangan terbaik iaitu menghadap tasik dan pergunungan, sebelum bersedia menyaksikan dan menikmati persembahan oleh musisi indie terbaik dari rantau ini seperti tema yang dibawakan #SerumpunBerpesta.

Pentas dibuka dengan persembahan yang memukau oleh .Feast dari Indonesia, sebagai tanda perkenalan mereka kepada penonton Malaysia secara langsung buat pertama kalinya.

Seterusnya, Margasatwa menyampaikan runut bunyi begitu sempurna dengan pemandangan matahari terbenam nan indah di Tasik Raban sebelum memberi laluan kepada waktu rehat Maghrib.

Persembahan malam itu dimulakan dengan Abangsapau dari Singapura menunjukkan mengapa dia lebih daripada sekadar penyanyi rap atau penghibur, tetapi juga seorang pencerita dengan mesej-mesej tentang menangani rasa tidak selesa dengan tubuh badan sendiri.

Seterusnya, The Times membuat penonton melompat dan menyanyi bersama-sama dengan lagu-lagu indie rock mereka sebelum The Pinholes dari Singapura mengambil alih dengan persembahan yang sesuai untuk menyambut ulang tahun ke-20 mereka sebagai sebuah kugiran tahun ini.
Baru sahaja Salammusik hendak masuk ke pentas, hujan renyai mula membasahi, memberikan suasana terbaik untuk persembahan penutup yang epik untuk hari pertama TAPAUfest dengan semua orang bangkit dari kerusi mereka untuk menyanyi dan menari dalam hujan sebagai meraikan kecintaan mereka terhadap muzik, seni dan alam semula jadi.

Alunan muzik kemudiannya diteruskan sehingga larut malam dengan peserta perkhemahan di Tapak Perkhemahan Santuy menikmati persembahan akustik di tepi api diiringi kopi dan berbual.

Keesokan paginya, bikepackers di “Outsiders Campout”, berangkat ke air terjun di Lata Perahu, salah satu tarikan di Lenggong. Pengangkutan ulang-alik juga membawa peserta perkhemahan ke Lata Kekabu dan Rumah Ayah An Rusa sebelum aksi Pentas bermula pada hari kedua.

Pengasas dan juga pengarah TAPAUfest, Ahmad Faris berkata, sambutan terhadap TAPAUfest tahun ini adalah amat positif.

“Daripada pengunjung festival, musisi jemputan tempatan dan antarabangsa serta komuniti indie secara amnya, dapat merasakan suasana yang baik walaupun sudah pasti ada ruang untuk penambahbaikan, kami amat berbangga kerana semuanya bersatu.

“Satu penghormatan besar untuk mempunyai Majlis Daerah Lenggong sebagai penyokong kami. TAPAUfest tidak akan dapat dilaksanakan tanpa bantuan Cendana yang benar-benar menunjukkan kepercayaan mereka kepada komuniti indie sekali lagi!

“Terima kasih juga kepada Waka, Ipoh Social Club, Santuy Travellers, Kadiak, Versussika, PBUY, Outsiders Bike, dan PTT Outdoor kerana mempercayai kami untuk memartabatkan Lenggong, seni dan budaya Asia Tenggara,” katanya.

Mengekalkan nuansa pada hari pertama, Kungfu Heidi menyampaikan persembahan energetik dengan gabungan hardcore dan hip hop diiringi Serbuk Cheese.

The Dare kemudian membawa gelombang twee pop tropika dari Lombok ke Lenggong memberikan satu lagi detik bermakna untuk pengunjung festival sambil menyaksikan matahari terbenam.

Persembahan malam dimulakan dengan set paling menarik perhatian di TAPAUfest dengan The Filters menyampaikan persembahan begitu kemas dan tersusun selain aksi mereka di belakang pentas menghangatkan lagi suasana malam itu.

Sobs dari Singapura kemudiannya mengambil alih pentas dengan mempersembahkan lagu kegemaran ramai serta lagu-lagu dari album baharu mereka “Air Guitar” sebelum Sweetass muncul dengan bunyian fuzz-grunge diatas pentas TAPAUfest.

Ketika orang ramai mula berkumpul di hadapan pentas, dapat dirasakan segala aura dan tenaga untuk menantikan kemunculan Hindia. Jelas sekali kumpulan dari Jakarta itu tidak mengecewakan. Hindia menyampaikan persembahan meliputi 12 trek yang menarik dan mengasyikkan.

Baskara Putra, penulis lagu dan frontman Hindia memadankan tenaga penonton selain menunjukkan mengapa dia dianggap sebagai salah satu kemunculan terbaik di rantau ini.

Muzik TAPAUfest 2022 serupa dengan banyak festival utama yang berkaliber dan dipenuhi ramai belia penuh semangat.

Namun, ia lebih daripada sekadar hiburan, kerana kumpulan seperti The Dare memberikan kesedaran mengenai serangan seksual dengan sepanduk merah jambu terang, Kungfu Heidi bersama Serbuk Cheese menyampaikan keadilan sosial dalam lagu mereka, Salammusik menggunakan reggae dan ska sebagai wadah untuk berbicara mengenai sosiopolitik, sementara Hindia mempromosikan kasih sayang, cinta dan perhatian melalui muzik mereka. Ini adalah nilai tambah untuk pengunjung dalam membentuk generasi masa hadapan yang lebih baik.

Setelah persembahan berakhir pada malam minggu penuh bintang di langit Tasik Raban, lagu Hijau oleh Zainal Abidin dimainkan untuk pengunjung mengambil sedikit masa melakukan pembersihan di kawasan sekeliling bagi memastikan segalanya dijaga dengan baik.

TAPAUfest tidak hanya mengenai pesta, tetapi juga sebuah peluang untuk menghubungkan nilai positif antara komuniti setempat.

Padin