Hadir & Menyanyi Bersama Di Konsert, Cakra Khan Buat Kejutan Untuk Rossa

Penyanyi Datuk Seri Rossa mengakui sangat teruja apabila Konsert Rossa 25 Shining Years dihadiri oleh ramai artis terkemuka tanah air, semalam.

Lebih mengujakan lagi, konsert yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu turut dihadiri oleh penyanyi Indonesia Cakra Khan, tanpa pengetahuannya.

Konsert tersebut turut menyaksikan reaksi Rossa yang benar-benar terkejut dengan kehadiran sahabat baiknya itu dan sempat menyanyikan lagu Kekasih Bayangan bersamanya secara spontan.

Menurut Rossa, dia sering memilih artis undangan yang berbeza-beza untuk tampil di konsertnya bagi meraikan pencapaiannya sepanjang berada dalam industri muzik bersama.

“Saya memang sering memilih artis undangan saya berbeza-beza di setiap konsert sebab saya banyak kawan. Jadi saya ingin ajak mereka tampil bersama dan menikmati konsert saya sempena 25 tahun dalam industri,” katanya.

Selain Cakra Khan, konsert itu juga dihadiri oleh beberapa selebriti ternama Malaysia seperti Shiha Zikir, Ifa Raziah, Puteri Sarah Liyana, Sherry Ibrahim dan ramai lagi.

Malah, konsert itu juga turut dihangatkan lagi dengan nyanyian duetnya bersama Hael Husaini menerusi lagu Kamu Yang Ku Tunggu dan Amy Search yang mendendangkan lagu Fantasia Bulan Madu.

Terdahulu, Rossa menyatakan dirinya sudah lama berhasrat untuk berkolaborasi dengan artis Malaysia yang belum pernah digandingkan bersama.

“Sebenarnya, disebabkan sudah lama tidak berkolaborasi di Malaysia, saya teringin sangat nak cuba berkolaborasi dengan artis yang belum pernah digandingkan bersama.

“Saya tiada sebarang nama yang spesifik untuk berkolaborasi, tapi saya sering mengambil kira persembahan yang bagus untuk dipersembahkan bersama nanti,” jelasnya.

Fatin Nurain