Kunjungan Pertama Membawa Tuah, Meerqeen Lebarkan Sayap di Indonesia

Pelakon Meerqeen memaklumkan dirinya kini sudah pun melebarkan sayap lakonan di Indonesia selepas membuat kunjungan pertama di sana, beberapa bulan lalu.

Menurut Meerqeen, dia bakal membintangi sebuah drama di negara itu yang berjudul Modus Operandi dan menganggapnya sebagai tuah pembuka rezeki kerjayanya di sana.

“Sebelum ini saya ke sana untuk bertemu dengan peminat dan memenuhi pelbagai undangan rancangan TV. Rentetan daripada kunjungan pertama itu, lebih banyak rezeki yang mula terbuka untuk saya mencuba.

“Sudah pasti sebagai pelakon baharu, saya gembira dengan tawaran yang datang. Mereka nampak sesuatu dalam diri saya dan ia adalah penghormatan yang besar terutama apabila dapat bekerjasama dengan Bank Rakyat Indonesia,” katanya.

Bintang Melur Untuk Firdaus itu juga menyatakan dia sangat teruja untuk memberi kerjasama dengan barisan pelakon yang digandingkan bersama sepanjang sesi penggambaran dijalankan.

“Memang saya teruja, pada masa sama gemuruh untuk bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman. Ini adalah produksi pertama saya di sana dan sedikit sebanyak ada perbezaan ketara, terutama dalam cara kerja.

“Saya gembira kerana mereka banyak membantu terutama semasa proses pra-produksi. Kami terbabit dalam sesi latihan bagi melicinkan proses seterusnya. Ini memang memberikan pengalaman berharga buat saya,” katanya.

Sebelum ini, Meerqeen telah mencipta fenomena yang luar biasa sehingga ke negara itu menerusi drama Melur Untuk Firdaus gandingan bersama Anna Jobling.

Meerqeen juga menyifatkan penglibatannya menerusi drama di Indonesia itu merupakan pengalaman yang menarik buatnya kerana bakatnya mula disedari oleh produksi luar.

“Memang ini pengalaman yang menarik dan tidak dapat dilupakan. Saya gembira kerana kerja keras selama ini tanpa disangka membuka mata ramai, termasuk produksi luar yang mula menyedari kehadiran dan mempercayai bakat saya,” katanya.

Fatin Nurain