[VIDEO] Gelagat Aafiyah ‘Take Over’ Baca Surah Buat Ramai Kagum, Pendakwah Doa Harap Jadi Qariah – “Moga Jadi Kebanggaan Ibu Ayah”

Anak sulung kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Aafiyah sekali lagi mencuri tumpuan warganet apabila membaca potongan Surah ‘Abasa dengan lancar.

Menerusi perkongsian di Instagram, Siti Nurhaliza memuat naik sebuah rakaman video yang memaparkan puteri sulungnya itu menghafaz potongan ayat al-Quran tersebut dengan fasih.

“Semalam sambil kemas bilik office, sambil nyanyi lagu dan buka mikrofon, ingat nak karaoke dua atau tiga lagu. Tak sempat ibu nak nyanyi, Aafiyah dah take over.

“Ibu saja suruh dia baca Surah ‘Abasa ayat 1 hingga 8..masih ingat tak?

“Alhamdulillah ingat lagi..hujung-hujung tu biasalah dah tak fokus,” tulis Siti di ruangan kapsyen.

Menjengah ke ruangan komen tersebut, rata-rata warganet meluahkan rasa kagum apabila mendengar hafazan Aafiyah dalam membaca potongan surah tersebut.

Malah pendakwah, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman turut meninggalkan komen dengan mengharapkan Aafiyah dapat menjadi seorang Qariah yang berjaya suatu hari nanti.

Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian itu telah meraih lebih 166,000 tontonan dan hampir 11,000 tanda suka.

Sebelum ini, gelagat Aafiyah menyanyikan lagu tamil popular, Munbe Vaa nyanyian penyanyi dan komposer terkenal, AR Rahman turut mendapat perhatian.

Khairil Khusyairi