[VIDEO] Last Minute Belajar Bahasa Isyarat, Ismail Izzani Terima Pujian Netizen – “Good Job For The Effort”

Penyanyi dan pelakon Ismail Izzani mencuri perhatian netizen apabila membawa watak yang menggunakan bahasa isyarat untuk penggambaran drama Bukan Hanya Sekadar Cinta yang bakal ditayangkan di TV3.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, dia menggunakan bahasa isyarat untuk bertutur dengan watak ibunya yang dilakonkan oleh pelakon Dian P Ramlee.

Di dalam video tersebut, Ismail atau lebih mesra disapa Mael memohon restu ibunya namun seperti berlaku konflik di antara mereka.

“Kasih sayang dan restu seorang ibu adalah sangat penting dalam hidup. Jaga dan sayangi lah mereka. Kerana cinta mereka tiada pengganti buat selamanya,” ujarnya.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen memuji lakonan dan usaha Ismail belajar bahasa isyarat bagi menjayakan watak tersebut.

“For the effort belajar sign language, good job.

“Beautiful bahasa isyarat.

“Ei lancar la sign language,” komen netizen.

Memetik laporan mStar, penerbit drama tersebut iaitu Datuk A. Aida turut memuji kecekapan Ismail walaupun diberi tugasan belajar bahasa isyarat dalam masa singkat.

“Saya memang puji lakonan Mael berbahasa isyarat kerana dia dapat belajar dengan cepat. Mungkin juga kerana usianya yang masih muda membuatkan otaknya cepat tangkap.

“Dalam drama ini, Mael bukanlah seorang yang bisu, tetapi dia terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan ibunya yang sudah tidak lagi boleh bertutur,” katanya.

Menurutnya lagi, dia mengupah seorang guru jurubahasa bertauliah untuk memberi tunjuk ajar di set penggambaran drama itu.

“Setiap hari satu jam sebelum bermula penggambaran, Mael dan Dian akan diajar oleh seorang jurubahasa isyarat.

“Bayangkan setiap babak yang memerlukan mereka berbahasa isyarat, dengan hanya satu jam sahaja pelakon-pelakon saya dapat memainkan watak mereka dengan berkesan,” jelasnya.

Maya Basir