Video Peluk & Cium Pipi Tersebar! Rossa Sera Mengaku Sudah Ada Teman Lelaki Baru, Anggap Ada Pihak Cuba Aibkan

Bekas isteri kepada pelawak sensasi, Shuk Sahar iaitu Rossa Sera sekali lagi terpalit dengan kontroversi apabila video mesranya bersama seorang lelaki tular dimedia sosial hari ini.

Tidak berdiam diri dengan penularan video berkenaan, Sera akhirnya tampil memaklumkan bahawa ada pihak yang sengaja melakukan perbuatan tersebut bertujuan untuk mengaibkan dirinya.

 

Malah, dia yang sebelum ini pernah terpalit dengan dakwaan penyondol kerana menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki berstatus suami orang bagaimanapun memaklumkan, dia kini sudah bersama dengan orang lain.

“Assalamulaikum semua, itu semua video lama. Sera sudah bersama dengan orang lain sekarang. Tolong move on sebab dahulu sudah pernah buat laporan polis pasal benda ni sebab pihak tertentu cuba mengaibkan video-video Sera,” ulasnya.

Dalam pada itu, ibu kepada dua orang cahaya mata ini menjelaskan bahawa laporan polis akan dibuat pada yang terlibat mengaibkannya dengan penularan video-video lamanya.

“Kami akan buat laporan polis pada yang terlibat yang cuba aibkan saya dengan video-video lama. Terima Kasih,” katanya.

Perkara itu dikongsi Sera menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram Story miliknya sebentar tadi.

Dalam hantaran sama juga, Sera turut berkongsi tangkap layar pesanan terus (Direct message) yang dikirimkan kepadanya oleh seorang individu.

Terdahulu, video pendek memaparkan aksi mesra berpelukan dan cium antara wanita itu bersama seorang lelaki mengejutkan ramai pihak.

Salma Syahbuddin