Wanna Ali Nafi Cetus Gosip Untuk Tutup Aib

Penyanyi dan pelakon Wanna Ali, terkilan apabila dikatakan sengaja merelakan diri dikaitkan bercinta dengan PU Riz Ismail semata-mata untuk menutup kontroversi yang melanda lelaki itu, baru-baru ini.

Gadis berusia 22 tahun itu juga menolak gosip cinta mereka sebagai gimik permulaan mempromosikan filem Ada Apa Dengan Dosa yang menggandingkan dia dan PU Riz sebagai pelakon utama.

“Kami memang rapat sejak terbabit dengan penggambaran filem itu, akhir tahun lalu. Tetapi, untuk dikatakan kami bercinta, rasanya tidak. Saya tidak rasa PU Riz akan memilih saya sebagai kekasih.

“Saya juga tidak menganggap gosip itu sengaja dicipta untuk menutup kontroversi gambar tidak senonoh yang dikaitkan dengannya, baru-baru ini. Lagipun, kontroversi itu memang tidak betul,” katanya.

Wanna yang pernah muncul dengan drama Abang Lori Ohsem, selain telefilem Khalifahkah Aku dan Papa Sayang turut menjelaskan, hubungannya dengan anak produser terkenal, Datuk Ziela Jalil, Megat Jufri Nasrullah sudah berakhir.

“Kami sudah lama putus dan saya menganggap, antara kami tiada jodoh. Namun, kami masih lagi berkawan kerana kelompok rakan kami sama. Hubungan kami hanya bertahan kurang setahun,” katanya.

Anak kepada penerbit Datuk Ayu Putih itu juga mengakui, rezekinya kini lebih terarah kepada dunia lakonan.

“Saya pernah ada empat single, tetapi rezeki sebagai penyanyi belum menyerlah. Mungkin saya perlu fokus kepada bidang lakonan dulu,” katanya yang turut menerima tawaran berlakon, selain syarikat produksi milik ibunya, Pencil Pictures.

Kredit: Berita Harian Online.

 

SGMS Enal