“Warna Darah Ni Tak Merah Sebab…” – Selepas Setahun, Azhan Rani Kembali Derma Darah Buat Kali Ke-50

Baru-baru ini pelakon Azhan Rani meluahkan rasa syukurnya apabila dia berpeluang untuk menderma darah plasma selepas setahun tidak dapat berbuat demikian akibat kemalangan jalan raya.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Azhan atau nama penuhnya, Azhan Abdul Rani, 46, berkata, ini merupakan kali ke-50 dia menjadi penderma Apheresis atau penderma darah plasma.

“I’m back. Alhamdulillah. Hari ini dengan izin Allah kembali menjadi penderma Apheresis.

“Genap 50 kali untuk hari ini. Hampir setahun lepas kemalangan jalan raya Januari haritu direhatkan. Enam bulan lepas kemalangan kena jadi penderma darah merah dulu. Rehat semula 3 bulan. Hari ini dapat semula jadi penderma Apheresis. Lepas ni insha Allah boleh committ menderma selang 2 minggu,” tulisnya.

 

Tambah Azhan, darahnya tidak berwarna merah seperti kebiasaannya kerana ia merupakan darah plasma.

Bahkan, proses menyedut darah plasma ini memerlukan lima kitaran dan mengambil masa selama 40 minit bagi setiap sesi rawatan.

“Memang warna darah ni tak merah sebab dia adalah darah plasma. Dalam darah merah kita ada darah plasma dan platelet. Plasma dan platelet ni colour ni la. Nak ambil dia kena sedut seluruh darah merah tu dulu guna mesin tu… kemudian mesin tu akan asingkan platelet dan plasma kemudian pulangkan semula darah merah dalam badan kita. Proses ni ada 5 cycle, guna mesin ni lebih kurang 40 minit,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azhan menyeru kepada orang ramai yang mempunyai kesihatan tubuh badan untuk melakukan sumbangan derma darah bagi membantu individu yang memerlukan.

“Jom yang sihat dan layak, kita jadi penderma darah. Bantu orang lain dan bantu displinkan kesihatan sendiri kerana hanya yang benar-benar  sihat akan mampu jadi penderma darah, Insha-Allah,” katanya.

Salma Syahbuddin