YADIM Kesal Penyebaran Video Muzik Usahawan Terkenal – “Video ini mengangkat budaya LGBT”

Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM) mengakui kesal dengan tindakan seorang usahawan kosmetik terkenal yang mengeluarkan sebuah muzik video sempena sambutan Aidilfitri.

Yang Di Pertuanya, Nasrudin Hassan berkata video yang dipaparkan oleh usahawan tersebut secara terang dan sangat nyata mempromosi budaya golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Tambahnya, video tersebut dianggap tidak sesuai untuk ditonton kerana menganggap mengganggu sensitiviti rakyat serta telah mencemarkan kesucian bulan Ramadan yang kini memasuki fasa 10 malam terakhir.

“Tumpuan umat Islam sepatutnya diberikan untuk memburu LailatulQadar dan dalam tempoh ini seakan cuba diganggu dengan penyebaran video muzik sampah seperti ini.

“Usahawan yang terkenal dalam mengeluarkan kandungan medianya yang menyinggung sensitiviti rakyat sebelum ini dilihat melampaui batas norma murni masyarakat di Malaysia.

“Video ini mengangkat budaya LGBT yang bukan sahaja dipandang jijik oleh ajaran Islam, bahkan menyongsang arus budaya sebenar masyarakat pelbagai agama dan bangsa di negara ini,” katanya.

Rentetan itu Nasrudin menyeru agar pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran muzik video lagu raya tersebut.

Menurut Nasrudin, video yang dipaparkan kepada umum itu tidak wajar untuk menjadi hidangan sebagai halwa hiburan terutamanya kepada tontonan anak-anak dan golongan muda dimana fikiran mereka masih mentah.

Sumber: Harian Metro

Aqilah Paharuzi