“Yang Menghina Ni Ilmu Perfileman Pun Tiada” – Finaz Yunus Selar Tindakan Netizen Hina Filem Mat Kilau

Personaliti TV, Finaz Yunus memberi pandangan terhadap filem Mat Kilau yang dikatakan mendapat kritikan hebat daripada warganet sejak mula ditayngkan di Netflix.

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Finaz berpendapat kritikan yang dilemparkan perlu konstruktif tanpa nada memerli ataupun menghina.

“Bukan mudah Malaysia ni nak buat filem berunsurkan patriotik mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat sendiri.

“Bila dah ada orang filem buat dan sambutan yang diterima amatlah memberangsangkan daripada rakyat hingga kelas silat penuh dengan pendaftaran baru golongan belia, berbondong-bondong juga hinaan dan kritikan untuk menjatuhkan diterima.

“Yang menghina ni ilmu perfileman pun nak kata asas pun tiada. Bukanlah nak kata tidak boleh mengkritik, namun biarlah kritikan itu konstruktif tanpa nada memperli dan menghina.” tulis Finaz.

Tambah Finaz, apa yang perlu masyarakat dan penonton beri perhatian ialah mesej yang ingin disampaikan dalam filem tersebut.

“Tapi yang perlu kita ‘highlight’ mesej yang ingin disampaikan. Saya pun punya pandangan terdapat kelemahan skrip, konti, jalan cerita yang macam nak cepat habis. Namun, saya amat hargai usaha penerbit, pengarah serta semua kru filem Mat Kilau dalam memahamkan rakyat mengenai perjuangan mempertahankan tanah air daripada penjajah.

“Filem ni tepat pada masanya. Saat belia lupa asal usul pembentukan Malaysia. Sekurang-kurangnya dengan Mat Kilau ni, mereka yang gagal subjek sejarah pun boleh faham serba sedikit perjuangan tok moyang dalam menuntut tanah air sendiri.

“Saya amat berharap akan ada lebih banyak filem yang menceritakan sejarah pembentukan Malaya,” tambahnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju dengan pandangan pengacara ini malah ada juga berpendapat pendidikan juga boleh dibawa melalui filem.

Sumber: Instagram finazyunus

Khairil Khusyairi