Yuna Tepis Dakwaan Lupa Asal Usul – “Saya Masih Masak Makanan Melayu & Tumbuk Sambal Belacan”

Penyanyi popular, Yuna mengaku berasa terkilan apabila kejayaan yang dicapainya hari ini seiring dengan kritikan dan kecaman yang diterimanya.

Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 37, tidak menolak jika sehingga kini masih ada dalam kalangan peminat di Malaysia yang tidak mengikuti perkembangannya di Los Angeles termasuklah mendengar lagu-lagu baru nyanyiannya.

Malah, ada yang menyangka kejayaan yang diraih kini membuatkan dia lupa asal usulnya.

“Jika saya balik ke Malaysia, ada juga makcik-makcik bertanya sudah tak buat muzik lagi ke? Mereka beranggapan sedemikian kerana saya sudah lama tidak merakamkan lagu dalam bahasa Melayu.

“Dan, memang ada peminat di Malaysia tidak begitu mengikuti perkembangan saya di Los Angeles dan menyangkakan saya lupa diri,” katanya.

Enggan mengambil peduli terhadap perkara yang menganggu ketenteraman minda, Yuna berkata, dia kini lebih bijak apabila tidak mengambil peduli komen negatif yang diberikan termasuklah yang mengkritik penampilannya.

“Kalau di Facebook (FB). memang banyak komen negatif, tetapi berbeza dalam Instagram (IG) kerana kebanyakan pengikut adalah peminat.

“Sekarang saya semakin bijak. Kalau dahulu saya baca setiap komen dan sekat mereka yang toksik, kali ini saya abaikan sahaja.

“Lebih baik saya tumpukan perhatian kepada komen peminat yang memberi sokongan dalam apa juga saya lakukan,” jelasnya.

Sementara itu, pelantun lagu Terukir Di Bintang ini juga menegaskan, tanggapan masyarakat yang mengatakan dia sudah lupa asal usul sama sekali tidak benar.

Ini kerana, walaupun lebih satu dekad berada di luar negara, namun jiwa sebagai seorang anak Melayu begitu kuat sehinggakan dia masih menghidangkan makanan Melayu untuk suaminya, Adam Sinclair.

“Walaupun sudah berhijrah dan mencari rezeki ke luar negara, jiwa Melayu saya tak pernah berubah.

“Saya masih masak makanan Melayu seperti kari dan tumbuk sambal belacan.

“Malah, saya sanggup membeli banyak-banyak bila terjumpa jenama minuman cukup popular di Malaysia.

“Dengan cara ini saya rasakan diri begitu dekat dengan tanah air tercinta,” jelasnya.

Terdahulu, Yuna yang kini tampil dengan album Masih Yuna di platform digital sejak 27 April lalu nampaknya semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat tempatan, apatah lagi lagu seperti Camaraderie dan Masih Sunyi telahpun memasuki carta top 50 Apple music Malaysia dan antara penyertaan lagu baharu tertinggi di carta Spotify Malaysia.

 

Sumber: Berita Harian

Salma Syahbuddin