Zarina Zainoordin Minta Agar Doa Cepat Dipertemukan Jodoh, Dedah Sudah Bercinta 10 Tahun

Pelakon Zarina Zainoordin meminta orang ramai mendoakan agar jodohnya dipertemukan dengan cepat.

Mengulas mengenai statusnya yang masih lagi solo, pelakon filem Mat Kilau ini mahu menamatkan zaman bujangnya secepat mungkin mengenangkan usia yang hampir menginjak ke 40 tahun.

“Saya nak sangat kahwin tapi macam tak sangkalah tak kahwin lagi, dah nak dekat 40 dah. Bercinta daripada sekolah tau. Ingatkan lepas sekolah nak kahwin tapi tak sampai jodoh lagi. Kawan-kawan kebanyakannya dah kahwin dah ada anak dah pun,” katanya.

Zarina ditemui di acara anjuran iQiyi, Jom Raya Setikar di EQ Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut mengenai reaksi keluarga dengan statusnya yang masih solo, Zarina menyifatkan mereka sangat memahami dan tidak memaksa untuk dia berkahwin.

“Keluarga sangat okay, Saya elakkan orang yang suka kepoh hal orang. Tapi kalau orang tanya, saya jawab macam biasa. Kalau rasa sakit telan sahaja.

“Normallah orang nak tanya. Kalau yang perli-perli suka hati merekalah. Benda itu bukan kerja kita,” jelasnya.

Zarina juga turut mendedahkan dia sudah 10 tahun mempunyai kekasih hati yang berstatus duda dan mempunyai dua orang anak.

“Tunggulah dia fokus pada anak-anak sampai besar sikit. Dia seorang ahli perniagaan dan kami kenal menerusi kawan-kawan.

“Dialah teman lelaki yang paling lama saya berkawan. Tak sangka juga saya paling lama kawan dengan dia,” katanya lagi.

Izzi Farhana