Categories: Konsert

Full House! Konsert Lochestra: Alif Satar & The Locos With The MPO Meriah, Sebak Sehingga Tak Dapat Teruskan Nyanyian Gara-Gara…

Sempena penubuhan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang ke-25 tahun, sebuah konsert istimewa Lochestra: Alif Satar & The Locos With The MPO disambut dengan meriah pada Sabtu lalu.

Pada malam tersebut, Alif Satar & The Locos serta iringan Orkestra Filharmonik Malaysia yang dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose membawakan 15 buah lagu dalam interpretasi simfoni antaranya Cukup Indah, Jangan Nakal, Lelaki Seperti Aku, Akhiri Penantianku dan Sesungguhnya Aku.

Di pertengahan konsert selepas 20 minit berehat, suasana kembali meriah dengan membawakan lagu-lagu daripada legenda terkenal tanah air iaitu Datuk Sheila Majid dan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang berjudul Sinaran dan Getaran Jiwa.

Lebih menarik lagi, semasa persembahan lagu Sinaran, terdapat elemen kejutan daripada konduktor, Ahmad Muriz yang bermain alat muzik saxophone dan ‘battle’ bersama Faliq Auri selaku pemain saxophone The Locos menerima sorakan penuh penonton.

Ruangan tempat duduk yang hampir ‘full house’ dipenuhi dengan penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat dan usia malah ada juga penonton dari luar negara.

Selain itu, Alif turut mendedikasikan sebuah lagu buat isterinya, Sha Dila Halid serta isteri-isteri dan bakal isteri di kalangan penonton iaitu lagu yang berjudul Isteri.

Sebelum melabuhkan tirai, konsert ini diakhiri dengan lagu Anugerah Terindah dan nyanyian bersama daripada penonton membuatkan Alif sebak sehingga tidak dapat meneruskan nyanyian buat seketika.

Gabungan alunan muzik dan ‘showmanship’ di antara Alif Satar & The Locos dan Orkestra Filharmonik Malaysia yang terserlah membuatkan konsert pada malam itu lebih bermakna dan menghiburkan.

Maya Basir