Categories: Konsert

Teruja Hiburkan Peminat, Khai Bahar Bakal Persembah ‘Sisi’ Lain Di DFP!

Penyanyi versatil, Khai Bahar bakal mengadakan konsert solo buat julung kalinya serta diiringi oleh band di tempat berprestij di Dewan Filharmonik Petronas pada 11 November ini.

“Kami akan buat kelainan sikit di mana untuk konsert ini kami akan buat pelbagai genre untuk setiap lagu termasuk lagu Khai dan juga lagu-lagu cover.

“Konsert ini akan jadi menarik kerana mempunyai segmen-segmen mengikut genre yang bakal dibawakan seperti EDM, Dangdut, Tradisional, Balada dan bakal ada kejutan untuk penonton,” ujarnya.

Ditanya mengenai persediaannya untuk konsert solo sulung ini, Khai dan band iringan akan memulakan dengan persediaan gubahan lagu dan berlatih.

“Persediaan itu Insya-Allah kami akan mulakan dengan gubahan lagu dan akan berlatih,” jelasnya ketika ditemui di sidang media Konsert Solo Khai Bahar Di DFP yang berlangsung pada 27 September lalu di Dewan Filharmonik Petronas.

Bukan itu sahaja, pelantun lagu Bayang ini berasa teruja untuk membawakan genre yang tidak pernah dinyanyikan sebelum ini pada konsertnya.

“Genre dangdut sebab saya tak pernah lagi. Macam tradisional, balada sebelum ini dah pernah bawa dan untuk pembukaan saya teruja juga sebab kami nak buat ala-ala EDM di mana jarang saya sendiri bawa,” katanya.

Konsert Khai Bahar dianggarkan akan mempersembahkan 15 hingga 17 buah lagu hits dan seleksi untuk menghiburkan para penonton pada hari konsert nanti.

“Insya-Allah 15 hingga 17 buah lagu bakal didendangkan tapi masih dalam perancangan. Pemilihan lagu tu sangat tepat untuk orang nyanyikan bersama. Kita dah pilih lagu majoriti yang orang nak saya nyanyi.

“Datang konsert ini takkan rugi kerana semua lagu yang saya nyanyi semua orang akan tahu,” kongsinya.

Untuk makluman, tiket Konsert Khai Bahar sudah mula dijual dengan harga bermula RM198, RM239, RM289, RM319 dan RM399 (Meet & Greet).

Tiket boleh dibeli melalui laman sesawang Dewan Filharmonik Petronas https://www.dfp.com.my/dfppresents-khaibahar

Atiqah Johari