Bulan Ramadan sentiasa hadir dengan roh kebersamaan yang mengajak masyarakat untuk saling mendekati, berkongsi rezeki dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Dalam suasana penuh keberkatan ini, pelbagai inisiatif digerakkan bagi menyemarakkan nilai kasih sayang, empati dan keprihatinan dalam kalangan komuniti.
Institusi masjid pula terus memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat penyatuan ummah yang merapatkan hubungan antara masyarakat, agensi, sektor korporat dan golongan memerlukan. Melalui program yang dianjurkan, masjid dilihat menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai lapisan komuniti dalam semangat ukhuwah dan tanggungjawab sosial.
Berlandaskan semangat itu, Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Perdana 1447H/2026M sebagai platform memperkukuh silaturahim sambil menyantuni mereka yang memerlukan menerusi sumbangan dan pelbagai pengisian bermanfaat.
Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Perdana 1447H/2026M yang menghimpunkan lebih 600 tetamu melibatkan wakil agensi kerajaan, rakan strategik korporat serta masyarakat setempat.
Majlis yang berlangsung di Dewan Al-Mukhlisin itu dipengerusikan oleh Pengerusi masjid, Datuk Ahmad Nazri Ibrahim yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan kepada para tetamu.

Menurutnya, penganjuran program tahunan itu bukan sekadar acara berbuka puasa, sebaliknya menjadi ruang untuk mengukuhkan hubungan antara institusi masjid, agensi kerajaan, pihak korporat dan komuniti.
“Majlis ini bukan hanya tentang berbuka bersama, tetapi menjadi medium untuk merapatkan hubungan sesama kita. Dalam masa yang sama, ia juga mencerminkan keprihatinan sosial apabila pihak masjid bersama rakan strategik tampil menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan termasuk asnaf dan artis veteran,” katanya.
Dalam majlis tersebut, seramai 200 golongan asnaf menerima sumbangan selain turut melibatkan anak yatim dan pelajar tahfiz sebagai penerima bantuan.
Sumbangan turut disalurkan kepada beberapa surau dan sekolah di bawah kariah Masjid Al-Mukhlisin sebagai usaha menyokong pembangunan komuniti setempat.
Majlis itu turut diisi dengan pelbagai pengisian termasuk alunan bacaan al-Quran oleh Ustaz Husaini Mahmur serta persembahan nasyid daripada kumpulan Munif Hijjaz sebelum para tetamu berbuka puasa bersama.
Program berkenaan turut disertai pelbagai agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Selain itu, beberapa syarikat korporat tampil sebagai rakan strategik termasuk Bank Rakyat Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Juara Travel Sdn Bhd, CA Facilities Integrated Sdn Bhd dan MTD Capital Sdn Bhd.
Menurut penganjur, sambutan yang diterima membuktikan sokongan berterusan masyarakat terhadap peranan masjid sebagai pusat ibadah dan kebajikan yang mampu menyatukan komuniti.
“Saya berharap Masjid Al-Mukhlisin dapat menjadi contoh kepada masjid lain dalam memperkukuh peranan bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat ilmu dan penyatuan masyarakat.
“Pentadbiran masjid memikul amanah besar untuk merancang dan mengurus institusi ini agar terus berkembang sebagai pusat yang memberi manfaat kepada umat,” katanya.








