Categories: LIFESTYLE

6 Cara Semulajadi Putihkan Gigi Yang Kuning

Kebanyakan produk menggunakan bahan kimia ‘peluntur’ untuk memutihkan gigi dan tentu sekali ini akan menyebabkan pengguna berasa ragu-ragu untuk mencubanya. Harganya pula tidaklah murah. Perbelanjaan untuk rawatan atau produk sebegini boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit.

Sebenarnya gigi yang sedikit kuning adalah normal. Ini kerana, apabila seseorang semakin meningkat dewasa, permukaan gigi akan menjadi haus dan mendedahkan struktur dentin yang berwarna kekuningan. Sebab itulah gigi orang dewasa akan nampak lebih kusam berbanding kanak-kanak.

MENGUNYAH MAKANAN ‘PENCUCI MULUT’

Mengunyah makanan seperti epal, sayur saderi (celery) atau lobak merah dikatakan dapat menjadikan gigi lebih putih disebabkan teksturnya yang berserat.

Dengan mengunyahnya sebagai snek, anda dapat membersihkan sisa makanan yang terlekat antara gigi dan serta mengesat plak-plak kekuningan yang terhasil di celahannya.

Selain menjadi snek yang sihat untuk tubuh, anda juga dapat memiliki senyuman yang bersinar!

BAKING SODA

Antara petua memutihkan gigi yang paling popular adalah dengan menggunakan baking soda.

Caranya, bancuhkan suku sudu teh baking soda dengan sedikit ubat gigi. Beruskan gigi seperti biasa dan bilas dengan air. Lakukannya sekali seminggu atau setiap 2 minggu.

Jangan berlebihan ya sebab penggunaan baking soda secara melampau juga dikatakan boleh menghakis enamel gigi anda.

GARAM

Penggunaan garam dipercayai mampu menambah sumber mineral pada gigi dan sekaligus menyerlahkan lagi warna putihnya.

Caranya adalah dengan menyapukan garam pada gigi seperti langkah menggunakan baking soda di atas. Kemudian berus dan bilasnya seperti biasa.

Sekalipun dapat bertindak sebagai antibakteria, elakkan membubuh garam pada bahagian gusi kerana ia boleh menyakitkannya.

HADKAN KOPI & MINUMAN BERGULA

Kopi adalah salah satu musuh ketat gigi anda yang terkenal sebagai punca gigi kuning selain rokok dan minuman bersoda. Hal ini bukanlah bermaksud anda perlu mengelakkannya 100%, namun anda mungkin boleh mengehadkan kuantiti pengambilannya setiap hari.

Ini kerana minuman dan makanan bergula boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria Streptocuccus Mutans,  iaitu bakteria utama penyebab plak dan gingivitis yang merosakkan gigi serta menjejaskan keputihannya.

GUNA STRAW KETIKA MINUM

Kalau nak elak gigi cepat kuning, minum minuman bergula atau kopi melalui straw kerana tindakan ini dapat menghindarkan direct contact dengan gigi.

Kalau tak ada straw, cuba pastikan mulut anda dibilas selepas 30 minit menikmati minuman tersebut.

BERUS & FLOS

Jangan pandang rendah kepada rutin memberus dan membersihkan gigi dengan flos. Ubat gigi dapat membantu mengeluarkan kotoran daripada gigi manakala penggunaan flos dapat mengeluarkan sisa makanan dengan berkesan.

Sesetengah makanan yang terlekat di celah gigi tidak dapat dibersihkan dengan sempurna menggunakan berus gigi. Makanan yang terbiar lama di celahan boleh menghasilkan bakteria dan plak gigi.

Selain itu, elakkan membeli ubat pemutihan gigi di farmasi atau secara online tanpa mendapat nasihat doktor / pegawai pergigian. Ini kerana konsentrasi kandungan bahan aktif yang berbeza di dalam ubat-ubat tersebut  akan memberi kesan sampingan yang mungkin lebih buruk kepada pengguna

*Sumber: Reader’s Digest, The Malaysian Medical Gazette, HealthLine.com

SGMS Enal