Categories: LIFESTYLE

Power Sungguh Animasi Malaysia… Robozeta Dilamar Stesen Televisyen Antarabangsa!

Belumpun ditayangkan, animasi terbitan tempatan, Robozeta berjaya mencuri perhatian negara luar apabila dilamar oleh sebuah stesen televisyen antarabangsa.

Diproduksikan oleh syarikat Red Circle Studio Sdn Bhd bersama barisan pasukan animasi yang berbakat besar, peluang keemasan itu diraih mereka tatkala seluruh dunia masih kebimbangan berdepan pandemik Covid-19.

Pengarah Robozeta,  Muhammad Dzahiruddin Ahmad Zabidi berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian itu kerana Robozeta adalah sebuah siri baharu yang belum pernah diuji kehebatannya sebagaimana siri animasi popular yang lain seperti Ejen Ali, Upin & Ipin mahupun BoBoiBoy.

“Sebuah syarikat penyiaran TV popular antarabangsa amat berminat untuk menjadikan Robozeta sebagai salah satu program siarannya. Bagaimanapun ketika ini kami masih terikat dengan kontrak bersama jenama lain,” katanya.

Tambah Dzahiruddin lagi, pihaknya mengambil inisiatif sendiri untuk menghubungi syarikat penyiaran dan stesen TV  antarabangsa untuk menguji sejauh mana Robozeta mampu mengembangkan pengaruhnya sebagai program kanak-kanak yang relevan untuk tontonan dunia.

“Oleh kerana dunia dilanda penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini, Red Circle Studio tepanggil untuk mengintai peluang mendekati syarikat penyiaran dan pengedar program antarabangsa untuk melihat sejauh mana Robozeta ini mampu diterima negara luar.

“Dengan cara itu, secara tidak langsung mewujudkan hubungan dua hala yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang. Tambahan pula, ketika ini banyak kerja-kerja produksi tergendala akibat pandemik Covid-19 menyebabkan banyak stesen TV ketandusan bahan siaran kerana tiada program baharu.

“Syarikat penerbitan antarabangsa sememangnya mengalu-alukan kandungan progrom dari luar, bagi menampung kekosongan yang ada,” katanya lagi.

Bermula dari sebuah pertandingan, sekaligus muncul pemenang program IPCC 2016 MDEC, Red Circle Studio Sdn Bhd mengembangkan Robozeta daripada sebuah projek pilot sebelum mengorak langkah lebih berani menghasilkan siri animasi 13 episod. 

Dengan peruntukan dana hampir setengah juta diperoleh dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), yang boleh dianggap agak kecil berbanding dana diterima produksi lain, Red Circle Studio Sdn Bhd, membuktikan mereka mampu menghasilkan karya setanding antarabangsa.

Percaya bahawa membina jenama yang kukuh di negara sendiri sentiasa menjadi keutamaan, Robozeta mengisahkan tentang lima adiwira iaitu Riko, Jango, Rexx, Bepop dan Ely yang bersatu untuk mempertahankan Zenochip.

Robozeta adalah sekumpulan adiwira cilik yg melindungi bandar Zetania dari ancaman musuh iaitu geng Kalabera yang berhasrat merampas sebuah chip dikenali sebagai ZenoChip yang merupakan sumber kuasa yang mampu memenuhi segala impian mereka.

Tidak hanya menitik beratkan lakaran dan efek animasi yang hebat, Dzahiruddin menyifatkan terapan nilai murni dan mesej khidmat masyarakat menjadi tunjang utama kekuatan Robozeta.

Dalam mempamerkan kehebatan Robozeta, pemahaman mengenai amalan membuang sampah yang betul, kepentingan mengawal pemakanan, limitasi menonton TV atau bermain gajet supaya tidak berlebihan, antara nilai yang diterapkan supaya dapat mewujudkan kepekaan tentang tanggungjawab si kecil pada diri, ibu bapa, persekitaran dan manusia sejagat.

“Topik-topik yang dibawakan setiap minggu amat bersesuaian untuk tontonan setiap peringkat usia dan bangsa. Garapan cerita yang disesuaikan dengan adiwira cilik, kenderaan berkuasa tinggi serta mecha robot juga adalah sesuatu yg boleh dikaitkan dengan penonton dewasa seperti kegilaan kita menonton karya-karya transformers,” katanya. 

Berdurasi selama 22 minit, Robozeta adalah siri animasi 3D berbahasa Melayu dan bergenre aksi komedi.

Informasi mengenainya juga boleh didapatkan menerusi media sosial Robozeta di Facebook, Instagram dan YouTube.

Padin