Wakili Malaysia, UPAG Sasar Pingat Emas Di Cheonan

Kumpulan Keseniaan & Kebudayaan Universiti Teknologi Petronas (UPAG) bakal mewakili Malaysia ke Pertandingan Festival Tarian Antarabangsa di Cheonan, Korea Selatan.

Festival tersebut dijangka bermula pada 12-16 September depan di mana UPAG bakal diwakili oleh 32 orang pelajar berbilang bangsa dari Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Menurut Ketua Kumpulan Seni Persembahan Universiti Teknologi PETRONAS, Toh Jian Heng, perwakilan UPAG bakal bersaing dalam empat kategori iaitu International Folk Dance, Street Dance Parade & Perfomance, Solo & Duet (Best Dancer Competition) dan The Funny Dance Battle.

“ Menerusi empat kategori ini, kami sasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas.

“ Kami berbangga dengan penyertaan dan dapat mewakili negara dalam memartabatkan tarian dan budaya kebangsaan di mata dunia. Kami akan buat yang terbaik,” katanya pada sidang media anjuran UPAG di Hotel Summit Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, perwakilan dari UTP pernah dinobatkan pingat emas pada festival tarian antarabangsa tahun 2013.

“ Kami ingin mengulangi kejayaan para senior kami yang lalu. Kami yakin dengan keunikan yang bakal pasukan UPAG tampilkan untuk tahun ini bakal menarik minat penonton di sana.

“ Antaranya, para peserta bakal mempersembahkan tarian Angalang iaitu tarian yang menjadi tarikan Kaum Murut yang telah diwarisi sejak beberapa generasi lalu.

“ Bagi kategori berbeza, penyampaian juga turut ada kelainan. Antaranya, Zapin dan bagi kategori Funny Dance Battle, kami tampilkan hanya seorang peserta yang mampu menari secara spontan,” jelasnya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Alumni Universiti Teknologi Petronas Prof Madya Dr Nor Hisham Hamid berkata pihak universiti meletakkan harap tinggi terhadap perwakilan dari UPAG di festival itu nanti.  

“ Ia merupakan landasan kepada pelajar Malaysia untuk menonjolkan bakat mereka di peringkat antarabangsa. Bukan sekadar mempamerkan keunikan seni tarian di negara ini tetapi turut membawa mandat besar mengharumkan nama negara.

“ Saya bersyukur dan bangga dengan penyertaan mereka serta berharap mereka dapat membawa nama UTP dan Malaysia dengan memenangi pingat dalam pertandingan itu,” katanya.

SGMS Faida