Categories: LIFESTYLE

”Toilet Newspaper/Handphone Syndrom” Punca Buasir Terhasil?

Buasir (Hemoroid/Hemorrhoid) adalah salah satu penyakit yang amat bahaya sekiranya tidak dicegah dan dirawat dengan cepat. Ramai yang menghidapi masalah ini namun tidak mengetahui dengan jelas antara punca yang boleh menyebabkan buasir berlaku.

Bagaimana keadaan ini berlaku? Untuk lebih jelas, ikuti perkongsian oleh Hello Doktor seperti di bawah.

Buasir terjadi dalam dua keadaan

Haemorrhoids atau buasir ini boleh terjadi dalam dua keadaan, iaitu sama ada buasir dalaman atau buasir luaran. Buasir dalaman terjadi di bahagian dalam saluran dubur manakala buasir luaran pula terjadi di bahagian luar saluran tersebut.

Menurut Dato’ Dr Meheshinder Singh, Pakar Perunding Pembedahan Am yang juga Pakar Bedah Kolorektal di Pantai Medical Centre, Kuala Lumpur, terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah buasir.

Antara punca-punca tersebut adalah, penuaan, kehamilan, masalah sembelit, mengangkat benda-benda berat dan meneran secara berlebihan semasa membuang air besar.

”Toilet Newspaper/Handphone Syndrom” 

Beliau juga menambah bahawa terdapat satu keadaan lain yang turut merisikokan seseorang individu untuk mendapat masalah buasir iaitu “toilet newspaper syndrom.” 

Keadaan di mana seseorang duduk terlalu lama di mangkuk tandas kerana ditemani bahan bacaan seperti surat khabar. Mungkin pada zaman sekarang, orang ramai tidak lagi membawa masuk surat khabar bersama-sama mereka ke tandas.

Tabiat ini masih berlaku memandangkan surat khabar telah digantikan dengan sesuatu yang lebih bersifat interaktif dan mengasyikkan iaitu gajet seperti telefon pintar.

Bahkan terdapat individu yang masih sempat bermain game di telefon pintar ketika membuang air besar. Tabiat seperti inilah yang turut menyebabkan seseorang individu itu mendapat masalah buasir.

Sumber : Muhammad Wa’iz via Hello Doktor

SGMS Enal