Categories: Oh Lawa

Anting-anting dwiguna, sambil melaram boleh dengar lagu juga!

 Gabungan teknologi dan fesyen, berjaya memperlihatkan satu inovasi rekaan yang harus dimiliki wanita tahun ini.

Apakah produk itu? Untuk pengetahuan anda, produk yang dimaksudkan ialah anting-anting dwiguna yang hadir sebagai pelengkap gaya, bahkan boleh dijadikan fon telinga. Hebat kan!

Rekaan versatil sebuah syarikat pengeluar barangan elektronik bernama Scandi Electronics itu berdasarkan idea menghasilkan anting-anting fon telinga yang dicetuskan seiring tuntutan kemodenan dan kepentingan penggunaan peranti dalam kalangan wanita.

Direka penuh mempersona, ciri efisien anting-anting ini diterap dengan sistem bluetooth yang kemudian boleh disambungkan kepada peranti peribadi lain milik pengguna untuk tujuan mendengar lagu, menerima panggilan dan sebagainya.

Foto: Newsmobile

Menurut pengasas syarikat Melissa Eldridge, anting-anting pintar dan bercirikan futuristik itu boleh berubah menjadi fon telinga dengan hanya sekelip mata.

Lebih menarik ia dilengkapi sistem bateri yang boleh bertahan selama empat jam lamanya, tahan lasak dan kalis peluh. Bukan itu sahaja, jika dipakai ketika tidur, ia mampu memberi sensasi getaran mengikut ketetapan yang dikehendaki pengguna dan berfungsi sebagai penggera.

Istimewa buat wanita yang menggilai aksesori peranti yang stailo, dengan hanya memutarkan butiran anting-anting itu, ia boleh bertukar menjadi putik fon telinga yang mudah disumbatkan ke lubang telinga.

Jika serabut mendengar lagu atau kehabisan bateri, anda boleh menggayakannya tatkala ada perjumpaan tergempar atau sebagai pelengkap gaya anda!

Foto: WizyTechs

Didatangkan dalam dua pilihan cantik yang boleh ditempah mengikut warna kegemaran seperti merah jambu, kuning dan beberapa warna lain, memiliki anting-anting ini adalah satu kemestian buat wanita.

Jadi jangan lupa dapatkan anting-anting ini menjelang April 2019 nanti. Mesti dimiliki!

 

Sumber: Wanista

 

Yanie Baharom