Categories: Oh Lawa

“Bukan Meniru Tetapi Inspirasi Daripada Jenama Antarabangsa” – Ezuwan Ismail

Busana merah jambu (pink) yang digayakan Datin Seri Maria Farida pada majlis pelancaran produk solekan GlamRush by MF Cosmetique, baru-baru ini dikritik oleh seorang individu (menggelarkan dirinya sebagai pengkritik fesyen) bukan kerana gaun menggunakan fabrik juntaian itu tidak cantik akan tetapi rekaannya dikatakan menciplak idea Balmain.

Selaku individu yang bertanggungjawab mereka cipta busana itu, Ezuwan Ismail tampil memberikan penjelasan bahawa tuduhan meniru itu adalah keterlaluan, sebaliknya tidak menafikan gaun digayakan Maria diinspirasi daripada rekaan fesyen antarabangsa.

Begitu juga dengan persalinan digayakan Nabila Razali semasa menghadiri Anugerah MeleTOP Era, tidak lama dulu. Ia juga turut dikaitkan dengan jenama Balmain.

Foto: Instagram I Know Fashion

“Sekali pandang memang ada sedikit persamaan tapi ia bukanlah seratus peratus kerana terdapat perbezaan dari segi penggunaan material fabrik dan rekaan selain sebagai pereka saya sendiri tidak gemar bila hasil kerja saya disamakan atau dibayangi pereka lain.

“Lazimnya saya akan nasihatkan pelanggan mengikut kesesuaian. Tapi itulah kebiasaannya pelanggan yang datang pasti memberikan contoh baju yang mereka inginkan, sebagai seorang yang menjalankan bisnes dan mencari rezeki dalam bidang ini, saya juga perlu memikirkan yang terbaik dan mengutamakan permintaan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut rekaannya untuk aktres Maria Farida dan Nabila Razali, Ezuwan mengakui apa yang dihadapinya itu bukan perkara baru malah dialami oleh pereka fesyen tempatan lain.

“Sulit untuk dijelaskan kerana sebagai pereka fesyen dan mencari rezeki, saya juga tersepit dengan situasi ini. Pening juga untuk memenuhi kehendak pelanggan dalam masa yang sama mengelakkan perkara yang melanggar etika,” katanya.

Foto : Instagram Ezuwan Ismail

Sementara itu, bercakap mengenai koleksi Lebaran rekaannya yang bertemakan Shades of Black yang dipertotonkan pada acara Gaya Koleksi Raya anjuran Fashion Valet, berlangsung di Publika tidak lama dulu, ianya mendapat sambutan yang cukup hangat.

Didatangkan dalam 12 rekaan terdiri dari seleksi warna hitam, ianya dijual bermula dengan harga RM2,000 sehingga RM4,800 sehelai.

Apa yang mengagumkan, Ezuwan berjaya mencipta variasi rekaan mewah dalam satu rumpun hitam ditambah pula solekan gothic yang dikenakan pada wajah model membuatkan acara peragaan itu diingati.

Malah membuatkan anda terasa mahu memiliki kesemua koleksi yang ada. Improvisasi persalinan Lebaran untuk lelaki juga menarik perhatian.

Foto : Instagram Ezuwan Ismail

Yanie Baharom