Categories: Oh Lawa

Burberry mohon maaf selepas rekaan hoodie dengan ikatan umpama tali gantung mengundang kemarahan

Pihak syarikat fesyen mewah Burberry menghulurkan jutaan kemaafan kerana memperagakan sebuah hoodie berserta tali yang diikat seperti tali gantung untuk pentas Minggu Fesyen London.

Rekaan berkenaan diperkenalkan di pertunjukan fesyen jenama itu Ahad lalu apabila model wanita, Liz Kennedy, mengadu bahawa ikatannya mencerminkan bukan sahaja imej bunuh diri tetapi juga hukuman gantung.

Beliau mengutarakan kemarahannya menerusi Instagram pada hari yang sama menerusi mesej panjang yang ditujukan kepada Burberry serta pengarah kreatifnya Riccardo Tisci.

“Bunuh diri bukanlah sejenis fesyen. Ia bukan penuh glamor atau edgy. Dan kerana pertunjukan fesyen ini disasarkan kepada anak muda yang gemar bersuara, dengarlah kata-kata saya.

“Riccardo Tisci dan semua orang di Burberry, saya tidak tahulah bagaimana anda boleh biarkan sesuatu rekaan yang berupa tali gantung yang disangkut di leher, keluar ke pentas peragaan.

“Jangan kita lupa pula dengan sejarah hitam hukuman gantung dari beberapa abad lalu,” tulisnya.

Postingnya telah menyebabkan orang ramai turut tujukan kemarahan mereka ke arah Burberry dan Riccardo.

Liz dan kritik lain berpendapat syarikat terkemuka ini sepatutnya lebih berhati-hati.

“Sebuah jenama yang besar seperti Burberry yang dianggap komersial dan berkelas tinggi tidak sepatutnya biarkan perkara ini berlaku.

“Saya rasa tertekan setelah ternampak model yang memakai hoodie ini. Ia menyebabkan saya imbau kembali kepada masa ketika salah seorang ahli keluarga saya meninggal dunia akibat bunuh diri,” tulis Liz dalam kapsyennya.

Model berkenaan berkata lagi bahawa dia telah meminta untuk bercakap dengan sesiapa sahaja daripada Burberry mengenai perkara ini. Sebaliknya dia disuruh untuk menulis surat.

“Saya sempat bercakap sebentar dengan seseorang tetapi hasil perbualan itu hanyalah, ‘Itulah fesyen. Tiada siapa yang peduli mengenai apa yang telah berlaku kepada diri awak, jadi pendamkannya sahaja.’”

Foto: Instagram @liz.kennedy_

Koleksi pakaian yang menampilkan hoodie ini dinamakan sebagai Tempest dan ialah sebahagian daripada koleksi musim luruh Burberry untuk tahun 2019.

Ekoran insiden ini, ketua pegawai eksekutif Burberry Marco Gobbetti berkata di dalam sebuah kenyataan bahawa syarikatnya memohon maaf ke atas ketidakpuashatian yang timbul.

Pengarah kreatif Burberry, Riccardo Tisci, juga memohon maaf dan berkata bahawa rekaan itu diinspirasikan oleh tema nautika, tetapi beliau juga sedar yang ia tidak sensitif.

Marco berkata beliau telah menghubungi Liz untuk meminta maaf secara peribadi sebaik sahaja beliau mengetahui mengenai aduannya.

“Insiden yang Cik Kennedy ceritakan tidak mencerminkan imej dan nilai Burberry. Kami akan belajar daripada kesilapan kami dan pastikan ia tidak akan berulang,” kata Marco.

Hoodie berkenaan telah diasingkan daripada koleksinya, dan sebarang gambar yang menampilkannya juga telah dipadam.

Sumber: AP

Ad Ops