Categories: Oh Lawa

Satu-Satunya Kecacatan Yang Semua Orang Mahu, Tentulah Lesung Pipit!

Trivia untuk anda, namakan satu-satunya kecacatan yang sesiapapun mahu ingin memilikinya? Tentu saja jawapannya adalah lesung pipit bukan?

Sebagaimana yang umum sedia maklum, lesung pipit terbentuk daripada kecacatan pada otot zygomaticus di bahagian pipi, iaitu ia pendek dari normal. Jadi, apabila tersenyum akan berlaku ‘lekuk’ di bahagian berkenaan.

Namun, ternyata ia satu kecacatan ciptaan Tuhan yang indah, kerana ia dianggap sebagai penambah seri dan pemanis wajah tidak kira buat si lelaki ataupun perempuan. Malah kebanyakan mereka yang mempunyai lesung pipit dikategorikan sebagai cantik, menawan, kacak juga tampan.

Foto : utaranews.com

Oleh kerana itu, ramai memilih untuk menjalani pembedahan plastik bagi membentuk lesung pipit sekaligus menjadikan ia satu prosedur kecantikan yang popular selepas pembesaran payudara, suntikan membesarkan punggung dan bibir yang menjadi pilihan wanita.

Wajah cantik supermodel terkenal, Miranda Kerr, sering dijadikan contoh oleh pelanggan dan prosedur bagi menghasilkan lesung pipit palsu itu hanya mengambil masa selama 30 minit sahaja di mana pakar bedah plastik akan membentuk otot pipi.

Otot itu kemudiannya dilekatkan dengan permukaan bawah kulit muka dan lesung pipit akan kelihatan apabila otot muka digerakkan.

Foto: NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Ia bermakna lesung pipit itu hanya akan kelihatan apabila seseorang itu tersenyum. Kos bagi pembedahan membentuk lubang pada pipi itu berharga antara RM3,400 hingga RM10,700.

Berbalik pada kejadian lesung pipit, sesetengah kes mendedahkan otot yang terhasil pendek ini boleh meregang perlahan-lahan mengikut perubahan masa. Itulah sebabnya ada orang yang mempunyai lesung pipit ketika mereka masih muda sahaja tetapi ia sudah tidak kelihatan apabila mereka semakin berusia.

Foto : beforeandafterz.com

Jika salah seorang daripada pasangan suami isteri mempunyai lesung pipit, 25-50% kebarangkalian anak yang bakal lahir akan mewarisi lesung pipit. Jika kedua-dua mereka mempunyai lesung pipit, kebarangkalian tadi akan meningkat kepada 50-100%.

Ia merupakan ‘kecacatan’ yang mudah diturunkan kepada keturunan masing-masing. Lesung pipit atau dalam Bahasa Inggeris disebut dimple juga boleh terbentuk pada bahagian badan yang lain, contohnya bahagian dagu dan punggung.

Foto : tribune.com.pk/

Yanie Baharom